Friday, February 18, 2011

Pertuduhan Belum Dibaca Dalam Sidang Mahkamah



Pertuduhan tidak dapat dibaca meskipun JAIS mendakwa mereka sudah memantau kegiatan Syiah selama 2 tahun


Pertuduhan belum dibaca dalam sidang mahkamahAgensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Dua ulama Syiah Hujjatul Islam Kamil Zuhairi dan Hujjatul Islam Mohsen Radmard telah dihadapkan di Mahkamah Syariah Gombak Utara, Kuang di bawah Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dengan kesalahan menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan arahan-arahan yang dinyatakan dan diberikan fatwa oleh pihak berkuasa agama.
Kamil Zuhairi diwakili peguamnya Muhammad Burok manakala Mohsen Radmard diwakili peguam Abdul Halim Bahari.

Di awal persidangan mahkamah, Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor, Umar bin Manaf memohon kes ini ditunda ke tarikh 31 Mac 2011 kerana kertas siasatan gagal disiapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Pihak JAIS meminta perjanjian jaminan kedua mereka iaitu Hujjatul Islam Kamil Zuhairi dan Hujjatul Islam Mohsen Rarmard dipanjangkan sampai kertas siasatan JAIS lengkap.

Peguam Syar'i untuk Hujjatul Islam Kamil Zuhairi iaitu Muhammad Burok memberikan hujjah bahawa tidak ada sebarang tuduhan yang jelas terhadap anak guamnya. Sementara itu siasatan yang dijalankan melampaui kebiasaan sampai boleh melebihi 4 bulan.

Sebagai pembelaan, kedua-dua peguam mempertikaikan kelayakan Penguatkuasa JAIS, Umar bin Manaf yang bertindak sebagai Pendakwaraya untuk mewakili pihak pendakwaan padahal martabat beliau hanya penguatkuasa JAIS. Haji Muhammad Burok turut menegur penggunaan terma kata 'yang tertuduh' kepada kedua-dua ulama tersebut sedangkan pertuduhan masih belum dibacakan. Penguatkuasa JAIS kemudian menukar ungkapan tersebut kepada 'yang disyaki'.

Berikutan tiada tuduhan dibaca, kedua-dua peguam enggan menerima bon jaminan yang dikeluarkan mahkamah dan Abdul Halim Bahari selaku peguam Mohsen Radmard menuntut pasport ulama itu kerana JAIS tidak mempunyai hak sedikitpun menahan pasport beliau. Menahan pasport ulama ini seolah-olah menjatuhkan hukuman.

Kedua peguam juga meminta bon jaminan bernilai RM2000 dipulangkan kepada kedua-dua ulama itu.
Hakim Shahrudin bin Selamat mengarahkan pasport Hujjatul Islam Mohsen Rarmard dipulangkan namun menerima permohonan JAIS supaya bon jaminan dikekalkan. Dengan persetujuan hakim Shahrudin, kes ini dan pertuduhan ditangguhkan ke tarikh 13 Mac 2011.

15 Disember lalu seluruh dunia Islam dikejutkan dengan pencabulan hak asasi terhadap minoriti Syiah di Malaysia apabila  Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu dan menahan 200 orang penganut Syiah Imamiyyah yang sedang berkabung mengingati kesyahidan Imam Husin (a.s) di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves yang dikenali sebagai Hauzah Ar Ridha Alaihissalam.


Pengarah JAIS ketika itu Datuk Muhammed Khusrin Munawi menfitnah pengikut mazhab Syiah kononnya mazhab ini mengkafirkan dan menghalalkan darah penganut Islam mazhab lain.

Minoriti Syiah kemudiannya mengadukan penindasan yang mereka alami sejak zaman berzaman kepada Suhakam dalam satu sesi penyerahan memorandum bermula pada tahun 2001, 27 Disember 2010 dan pada 14 Februari 2011 yang lalu satu pertemuan meja bundar yang berlangsung dengan Pesuruhjaya SUHAKAM, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi.

Peristiwa serbuan 9 Muharram tersebut telah menarik tumpuan antarabangsa apabila media asing mulai membuat liputan tentang hak-hak asasi minoriti Syiah Malaysia yang teraniaya. Peristiwa itu juga mendapat perhatian badan-badan hak asasi manusia yang mulai melobi dan berkempen bagi pihak mereka. Sebuah laman http://justiceformalayshia.org/ turut dilancarkan berpangkalan di London. Hubungan Malaysia dan Republik Islam Iran juga berada dalam keadaan tidak selesa apabila Komisi Hak Asasi Manusia Parlimen Iran menghantar surat kepada kerajaan Malaysia (lihat sini: http://english.farsnews.com/newstext.php?nn=8910120975). Para ulama Iran seperti Ayatullah Tashkiri, dan Ayatullah Jaafar Hadi menyatakan kekesalan terhadap situasi tersebut dan meminta supaya fitnah terhadap mazhab Syiah dihentikan sementara dialog dianjurkan demi menjaga perpaduan ummah.

Kemungkinan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam moderat akan terjejas sekiranya kes ini diteruskan.

ABNA.ir

No comments:

Post a Comment