Wednesday, May 30, 2012

Kelantan minta Soi Lek jangan prejudis

Salmah Mat Husain,
KOTA BHARU: Presiden MCA Datuk Seri  Chua Soi Lek diminta tidak bersikap prejudis terhadap kerajaan Kelantan kerana kesannya amat tidak baik baginya sebagai seorang pemimpin besar bangsa Cina di negara ini.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata Soi Lek seharusnya tidak begitu emosional dalam membuat kenyataannya yang berkaitan kerajaan Kelantan kerana ideologi politik yang berbeza.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya semalam ketika menjawab kenyataan bekas menteri itu dua hari lalu yang mendakwa kerajaan Kelantan telah menolak permohonan Persatuan Buddhist Kelantan yang ingin membuat rumah ibadat di bandar Kota Bharu.

Soi Lek dalam kenyataannya yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris itu juga mendakwa persatuan berkenaan kini sedang membuat rayuan pada kerajaan negeri agar permohonan mereka dipertimbangkan.

Jelas Takiyuddin lagi,  tidak timbul kerajaan negeri menolak dan tidak timbul persatuan terbabit membuat rayuan pada kerajaan negeri memandangkan persatuan itu tidak pernah membuat permohonan dari kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya semalam bagi mengulas kenyataan Chua Soi Lek dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

“Andainya pihak persatuan tidak pernah membuat sebarang permohonan pada kerajaan negeri, bagaimana ianya boleh timbul penolakan.

“Kerajaan negeri boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan itu, kerana ianya berbaur fitnah, tetapi rasanya cukup dengan pejelasan itu dan biarlah rakyat yang menentukannya,” ujarnya.

Sambungnya lagi, beliau baru selesai mengadakan pertemuan dengan beberapa orang anggota jawatankuasa persatuan itu untuk mendapatkan penjelasan.

Tambahnya, pihak mereka mengakui tidak pernah membuat sebarang permohonan sebagaimana yang berkaitan, bagaimanapun hanya berhasrat untuk membina sebuah dewan komuniti sahaja.

Kerajaan Kelantan, katanya sentiasa bersikap toleransi dengan pelbagai anutan agama walaupun kerajaan negeri dipimpin oleh bukan Islam.

“Kerajaan negeri sejak awal lagi telah menetapkan bangunan sebegini tidak akan disyaratkan mengikut cirri-ciri Islam, kerana ianya rumah ibadat atau komuniti masyarakat bukan Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan  pihak lawan tidak mengambil kesempatan terhadap kenyataannya sebelum ini yang mengingatkan pihak PBT atau individu yang ingin membena bangunan baru diminta menerapkan seni bina Islam.

Katanya, di bawah penyeragaman pembenaan bangunan perniagaan hanya gedung perniagaan sahaja yang terlibat dengan seni bina Islam, bagaimanapun bagi pembinaan rumah ibdat, ianya langsung tidak ada kaitan ciri-ciri itu.

Harakah

"Skandal Forex Bank Negara Dikaji Semula"

Berikutan kejayaan forum kami berkenaan isu Pelabuhan Klang Free Zone (PKFZ), Penang Institute telah memutuskan untuk mengkaji semula sebuah skandal kewangan utama yang telah menghantui negara kita sejak dekad sembilan puluhan. Pada tahun 1992, Bank Negara Malaysia telah menceburi perdagangan matawang asing yang agresif dan akhirnya mencatatkan kerugian berjumlah RM30 bilion dalam spekulasi (pertukaran mata wang asing) atau forex. 
Walaupun menerima tekanan daripada kumpulan-kumpulan masyarakat sivil dan parti-parti pembangkang yang menuntut kebertanggungjawaban, kerajaan telah memperlekehkan skandal itu sebagai "kerugian atas kertas" semata-mata yang membabitkan "keuntungan yang dibuat dalam urusan tukaran mata wang asing pada tahun-tahun sebelumnya". Setelah hampir 20 tahun, masih tidak ada penjelasan kepada pihak awam, tiada kebertanggungjawab serta tidak ada tindakan tegas yang diambil ke atas kerugian besar yang dialami oleh Bank Negara hasil penglibatan kontroversi di dalam spekulasi forex. 

Kerajaan pula terus membisu dan panggilan untuk pembentukan suruhanjaya siasatan diraja juga dipandang sepi. Bukan sahaja kerugian yang diambil kira, tetapi cara di mana Bank Negara, sebuah institusi yang diamanahkan untuk memastikan kestabilan kedudukan kewangan negara, memperjudikan berbilion-bilion ringgit wang pembayar cukai jelas telah menguburkan kredibilitinya. 
Oleh itu, Penang Institute akan menganjurkan forum bertajuk, "Skandal Forex Bank Negara – Apabila Kerajaan Menjadi Spekulator" dalam usaha untuk mencungkil kebenaran, mendidik orang ramai serta mengetengahkan peripenting integriti, kebertanggungjawaban dan ketelusan, khususnya apabila berkait dengan soal pengurusan wang awam. 
Forum ini akan menampilkan Ketua Pembangkang YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan yang lebih penting, Menteri Kewangan pada masa berlakunya skandal ini. Turut berucap adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng. Kami juga telah menghantar jemputan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang memainkan peranan penting di sebalik tabir di Bank Negara pada masa itu. 
Adalah diharapkan bahawa beliau akan menerima undangan kami dalam semangat demokrasi. 
Forum ini akan diadakan pada 2 Jun 2012, 2.30 petang (Pendaftaran jam 2.00 petang) di Dewan Sri Pinang, Padang Kota Lama, George Town dan terbuka kepada awam dan media. 
Bagi yang berminat, sila hubungi Cik Ivy Kwek (ivykwek@penanginstitute.org, 016-7701187) untuk mendaftar. Bagi pihak Penang Institute, SYED MIKAEL RIZAL AIDID Eksekutif Komunikasi & Program Penang Institute
 

Sunday, May 20, 2012

Azan dan sujud di Padang Kota


(Padang Kota Lama, tempat berhibur menjadi tempat sujud)

GEORGETOWN: Hari ini dalam sejarah tercatat semalam (19 Mei 2012) apabila buat pertama kalinya azan berkumandang dan solat jemaah Magrib dan Isyak diadakan di Padang Kota Lama sempena Program Pameran Pengguna Pulau Pinang 2012.

Ia diikutiwacana santai bersama Ustaz Azhar Idrus, Ali XPDC, Sham Kamekaze dan Bob Lokman.

Selalunya Padang Kota Lama dilaksanakan program bercorak hiburan yang melalaikan masyarakat, tempat muda mudi bercengkerama dengan pasangan masing-masing, tempat riadah bagi warga emas, memancing di tepi laut atau datang menghirup udara segar di tebing laut sambil makan serta minum bersama keluarga di medan selera yang disediakan.

Namun, situasi program anjuran kerajaan negeri menerusi Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Haji Abdul Malek Abdul Kasim itu berjaya mengubah landskap dengan lautan manusia yang datang.

(Ribuan manusia tekun mendengar tazkirah dari Ustaz Azhar Idrus)

Mereka mendengar persembahan bekas pencipta lagu, Bob Lokman, Penyanyi Ali XPDC, Gitaris Sham Kamekaze, pemain bass Spring, Jon, Imam Muda, Asraf yang menyampaikan kuliah magrib serta Ustaz Youtube, Ustaz Azhar Idrus.

Kesemuanya gembira setelah melihat lautan manusia datang membanjiri padang yang pernah menjadi lokasi mereka membuat persembahan hiburan sebelum ini.

Hanya Ustaz Azhar Idrus yang hanya melintasi kawasan ini ketika di jemput mengadakan kuliah bulanan di Pulau Pinang atau keluar bersama rakan merakam gambar terindah sekitar Georgetown.

Sepanjang pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) program seumpama ini tidak pernah diadakan dan yang mereka tahu hanyalah hiburan kononya untuk mendekati anak muda.

Lebih memalukan kepada pihak yang selalu membuat kacau terhadap pemerintahan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang serta taburan fitnah yang berterusan mengatakan pemerintahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng anti Islam akhirnya suara azam boleh berkumandang di Padang Kota iaitu luar kawasan masjid.

Jiwa anak muda kini walaupun mereka 'rock' tetapi dalam hati mereka terbuka luas untuk Islam dan mahukan perubahan politik yang telah lama membelenggu kehidupan rakyat dengan kenaikan harga barangan, petrolium, kemudahan asas dan seumpamanya.

Bob Lokman dalam ucapan permulaan majlis berkata, berbelas kali beliau memijak kaki di Padang Kota tetapi malam ini satu kelainan yang tidak pernah terbayang dipemikirannya.

Tapak untuk muda muda bersuka ria malam itu penuh dengan insan yang mahukan pembersihan jiwa.

"Dulu kami sebagai penghibur gembira bila ramai yang datang memberikan sokongan dengan jiwa yang kosong.

Malam ini lebih gembira sebab ramai yang datang dengan jiwa yang tenang untuk mengisi soal keagamaan, " jelasnya.

Begitu juga Sham Kamekaze, Ali XPDC dan Jon dari Spring walaupun mereka bukan penceramah atau ustaz tetapi alunan bunyi gitar dan kemerduan suara sudah cukup menyentuh perasaan bahawa kemunculan mereka di pentas sedemikian ada kelainan berbanding dulu.

Suara lunak Ali yang pernah menjadi vokalis Terarossa di era rock 1990 an tiada bezanya apabila menyampaikan lagu-lagu berirama ketuhanan hasil ciptaan Ustaz Azhar Idrus sendiri.

Para hadirin yang datang bukan hanya untuk mendengar jawapan dari berbagai persoalan yang ditanyakan oleh para pengunjung malahan dapat membeli barangan yang dijual peniaga.

Program berbentuk santai itu, membolehkan keluarga duduk makan minum di atas padang bahkan terdapat pengunjung bukan Islam datang untuk mendengar sendiri apa yang diperkatakan.

Walaupun antara mereka tidak memahaminya namun mereka percaya golongan yang hadir pada program tersebut merupakan golongan yang baik jauh dari sikap ganas sepertimana yang digambarkan.

HarakahDaily

Setelah Lebih Dua Tahun Operasi; Lembah Kaprima RM26 juta Gagal


KUALA NERUS - Hasrat kerajaan untuk melihat Terengganu menjadi pengeluar daging kambing terbesar di negara ini tidak menjadi kenyataan apabila Projek Lembah Kaprima bernilai RM26 juta dimulakan Disember 2010 masih gagal.

Menurut Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, di antara  lapan projek 'Kambing Prime Malaysia' (Kaprima) yang akan dilaksanakan adalah di Kampung Sedaging, Hulu Besut.

“setelah beroperasi lebih setahun setengah, sepatutnya sebanyak 500 ekor ibu kambing menghasilkan sekurang-kurangnya 2000 anak, tetapi amat mengejutkan hanya 9 ekor anak di hasilkan di Lembah Kaprima Sedaging,”jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan ceramah isu semasa di kampung Pulau Ketam, Pulau Duyung, dekat sini pada Khamis malam 17 Mei. [Gambar bawah]

Beliau yang juga Timbalan Yang DiPertua PAS Kuala Nerus mendedahkan perkara tersebut berdasarkan jawapan dari soalan yang dikemukakannya kepada Dewan undangan Negeri April lalu.

Katanya bukan sahaja anak kambing tidak dihasilkan, bahkan, ibu kambing telah mati dan berkurang daripada 5000 kepada 215 ekor.

Pada Oktober 2009,  Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri Dr Azizol Mohd Sharum berkata peruntukan RM26 juta telah diluluskan kerajaan negeri untuk lapan projek Kaprimaa di Terengganu.

Katanya, projek Lembah Kaprima itu ialah di Kampung Payang, Hulu Terengganu, Kampung Cabang (Kemaman), Kampung Segading (Hulu Besut), Hulu Seladang dan Telaga Papan (Setiu), Durian Mentangau (Dungun), Tanjung Gadong (Marang) dan Mengabang Bakung (Kuala Terengganu).

Sebelum itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said juga pada 29 April 2009 berkata ‘kononnya’ negeri Terengganu akan menjadi pembekal kambing terbesar di negara ini menjelang 2015 dan mensasarkan 25 usahawan dapat diwujudkan dalam bidang ternakan kambing di seluruh negeri.

“Dengan perkembangan ini dijangkakan lebih 1,500 orang berpeluang mendapatkan pekerjaan yang disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah bagi menambah pendapatan keluarga,” kata Ahmad kepada pemberita selepas meninjau Ladang Cosmopall Sdn Bhd di Serating Marang [Gambar atas].
Mengulas lanjut, Dr Alias berkata, bukan sahaj ibu kambing mati, anak kambing tidak dihasilkan, bahkan bapa kambing juga mati.

“daripada 500 ekor ibu tinggal 215 ekor sahaja, anak 9 ekor sahaja (dihasilkan) duit siapa, bukan duit Ahmad Said, duit kita juga,

“bapak (kambing) mapuh (mati) juga daripada 20 ekor tinggal 8 ekor sahaja,”tambahnya

Buletin Online

Saturday, May 19, 2012

Sebelum buang perkataan Islam dari PAS, buang dulu dari JAKIM

Jakim juga tak wajar guna perkataan Islam?



Oleh: IBRAHIM ZAKARIA naib ketua Dewan Ulama PAS Perak.

ULASAN Dewan Ulama PAS Perak ingin memberikan ulasan mengenai kenyataan Tan Sri Harussani Zakaria, mufti kerajaan negeri yang disiarkan dalam Berita Harian pada Isnin, 14 Mei lalu.

Walaupun menyedari bahawa kemungkinan sebahagian daripada yang disiarkan mungkin tidak sebagaimana yang diucapkan sebagaimana kenyataan-kenyataan terdahulu, namun bagi PAS Perak amat perlu menjelaskan beberapa perkara yang mungkin akan mengelirukan umat Islam yang tidak memahami hakikat yang sebenar.

Kenyataan beliau yang mengatakan bahawa perjuangan PAS kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan agama Islam demi kuasa dan kerusi politik adalah tuduhan melulu jika tidak diasaskan kepada kajian dan pembuktian yang lengkap.

Adakah beliau benar-benar memahami matlamat asal PAS dan sudut manakah yang sudah diselewengkan? Adakah beliau merasakan PAS melakukan sesuatu sesuka hati sedangkan PAS dikawal oleh Majlis Syura Ulama yang dianggotai oleh para ulama berwibawa dan setaraf dengan barisan para mufti di negara ini?

Saranan agar Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan kewajaran parti itu menggunakan perkataan Islam dalam nama parti adalah saranan yang hanya akan membuktikan Majlis tersebut hanya mengikut telunjuk Umno.

Ini kerana bukan hanya PAS sahaja yang menggunakan nama Islam di negara ini. Apakah badan-badan lain termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam neger-negeri wajar menggunakan perkataan Islam?

Sedangkan sebahagian tindakan agensi kerajaan ini juga tidak terlepas daripada kesilapan dan dikritik oleh cendekiawan Islam sehingga menjejaskan nama baik Islam.

Kenapa tidak beliau menyarankan agar tindakan ini dimulakan dengan badan seperti Sisters in Islam yang dengan jelas dianggap oleh selama ini sebagai memusuhi Islam.

Salahkan taksub menegakkan syariat?

Gesaan beliau "kepada ahli dan penyokong PAS, khususnya yang fanatik dan taksub segera kembali kepada ajaran Islam sebenar dan berfikiran waras" tidak mencerminkan keadaan yang sebenar.

Apakah salah bagi seseorang individu Muslim fanatik dan taksub kepada perjuangan menegakkan syariat Islam keran itulah sebenarnya ajaran Islam.

Bukankah semua Muslim diperintahkan agar menerima Islam sepenuhnya termasuk perlaksanaan undang-undang Jenayah Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Islam.

Bukankah lebih wajar beliau menggesa ahli dan penyokong Umno yang berterusan mentaati pemimpin mereka yang berterusan mencari alasan untuk tidak melaksanakan ajaran Islam sepenuhnya.

Dewan Ulama PAS tidak bersetuju dengan dakwaan beliau bahawa perpecahan umat Islam disebabkan oleh sifat dengki, tamak, mengejar pangkat dan kedudukan di kalangan pemimpin parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam.

Perpecahan Umat Islam sebenarnya disebabkan sebahagian daripada mereka yang mengaku sebagai Islam tetapi tidak mahu patuh sepenuhnya dengan syariat Islam.

Mana mungkin kita mahu mengajak para pejuang Islam meninggalkan syariat Islam semata-mata untuk menyatukan umat.

Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan himpunan BERSIH 3.0 amat jelas dibuat sebelah mata kerana tidak ada seorang pun wakil penganjur yang diambil keterangan mengenainya.

Kerosakan harta benda dan kecederaan orang ramai boleh dielakkan jika pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab mereka bagi mengawal keadaan, bukan menambahkan provokasi sehingga menimbulkan suasana tegang.

Hanya berbekalkan tuala dan garam

Apakah beliau yakin terdapat niat di pihak penganjur untuk menjatuhkan kerajaan?

Dalam Islam ulama juga berselisih pandangan mengenai hukum menjatuhkan kerajaan yang sah walaupun kerajaan diperintah oleh pemimpin Islam yang fasik selagi pemerintah menjaga kebajikan umat Islam.

Apakah beliau begitu pasti pemerintah negara ini benar-benar menjaga kebajikan Umat Islam ataupun hanya menjaga kebajikan umat Islam yang menjadi penyokong tegar mereka semata-mata?

Peserta BERSIH 3.0 yang hanya datang berbekalkan garam dan tuala kecil amat jauh untuk diistilahkan sebagai " bughah atau pemberontakan melampau yang menghancurkan negara, sekali gus membolehkan pemberontak dihukum bunuh" kerana ulama mensyaratkan bagi kes bughah yang boleh dihukum bunuh mestilah pemberontakan tersebut mempunyai kekuatan dan bersenjata.

Oleh yang demikian, Dewan Ulama PAS Perak menasihatkan agar Tan Sri Harussani kembali kepada fungsi dan peranan beliau yang asal sebagai mufti yang bertanggungjawab menasihati kerajaan agar tunduk kepada kehendak Allah.

Oleh kerana beliau tidak memahami situasi politik semasa yang begitu mencabar, beliau perlu mengurangkan ulasan berkaitan politik yang hanya memberi ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menyalahgunakan kenyataan beliau.

Jika beliau terus dengan sikap berat sebelah seperti ini maka kepercayaan umat Islam terhadap beliau akan beransur terhakis dan kegemilangan beliau sebagaimana dahulu yang dihormati sebagai seorang ulama yang berani dan bijaksana tidak akan dapat dikembalikan buat selama-lamanya.

Kedah la

Friday, May 18, 2012

Tuan Guru Nik Aziz Saman NST RM 1 Juta

Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar notis saman kepada semua yang terlibat dengan laporan berita 'Nik Aziz father of kafir'.

Saman pula akan difaikan minggu depan terhadap mereka yang terlibat di New Strait Times dan bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor.

Saman itu dibuat ekoran kegagalan kedua dua pihak memohon maaf dan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai “bapa kafir” dalam tempoh yang diberikan.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan Hisham Fauzi berkata, pihaknya kini sudah menyiapkan sepenuhnya dokumen dan dijangka memfaikan saman tersebut Isnin depan.

"Minggu depan kita akan faikan saman terhadap kedua-dua pihak tersebut, dan kita jangka ianya boleh dibuat Isnin ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Sebelum ini, pihaknya telah memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu.

Bagaimanapun tiada sebarang respon daripada Rahim malah beliau tampil menafikannya pula.

Isnin lalu pula, pihaknya menghantar notis saman kepad NST dengan memberi tempoh 48 jam untuk akhbar milik Umno itu memenuhi tuntutan.

Selain New Straits Times (NST), notis saman itu turut menamakan Ketua Editor NST serta tiga orang wartawan yang terlibat dengan berita itu iaitu Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean dan Nik Imran Abdullah.

Notis itu antara lain menuntut NST menyiarkan penarikan balik dan permohonan maaf di muka hadapan akhbar itu, manakala enam kali dalam muka yang lain.

Mereka juga menuntut disiarkan satu muka penuh sama permohonan maaf itu di akhbar Berita Harian ataupun Utusan Malaysia.

Selain itu, turut dituntut bayaran RM1 juta sebagai gantirugi penyelesaian luar mahkamah.

Jalan Pulang

Friday, May 11, 2012

IMALAYSIA KENA KENCING LAGI?


Sejak mutakhir ini kita sibuk dengan BERSIH 3.0. Ia berkait rapat dengan pilihanraya yang bersih dan penubuhan kerajaan yang bersih dan memerintah dengan cara yang bersih. Tapi mengapa BN menerusi SPR enggan menerima saranan BERSIH sedangkan ia untuk kebaikan sistem pemerintahan? Oleh kerana mereka tidak mahu menerima saranan BERSIH, maka persepsi rakyat bahawa ada sesuatu yang hendak disembunyikan oleh BN kekal di hati mereka yang inginkan pilihanraya yang bersih. Penolakan saranan BERSIH seolah-olah BN ingin menang walaupun dengan cara yang tidak bersih. Apakah yang sedang disembunyikan?

Baru-baru ini berlaku penjanjian pelaburan sebuah syarikat milik kerajaan bernama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diketuai oleh PM sendiri. 1MDB telah membuat perjanjian dengan sebuah syarikat yang ditubuhkan di Seychelles (GAMBAR 1) bernama Petrosaudi International Ltd. Baca mengenai kisahnya disini. Seychelles adalah sekumpulan pulau-pulau yang penduduknya lebih kurang 87,000 sahaja. Memang sesiappun boleh daftar syarikat off-shore di sana. Mudah sahaja.

Website syarikat Petrosaudi mendakwa mempunyai pejabat di UK dan Switzerland. Carian mendapati maklumat berikut:

GAMBAR 2: BUSINESS SYARIKAT PETROSAUDI INTERNATIONAL

Syarikat mendakwa ia terlibat dalam business carigali dan pengeluaran minyak dan gas di Arab Saudi dan antarabangsa. Tiada maklumat tentang R & D, modal insan, intellectual capital dan lain-lain dipaparkan dalam websitenya, seperti yang ada di PETRONAS, BP atau Shell.

GAMBAR 3: ALAMAT DI ARAB SAUDI HANYA SEBUAH PETI SURAT

Anehnya syarikat ini tiada menyatakan lokasinya operasinya di Arab Saudi (GAMBAR 3). Anda pergi lah ke mana-mana website syarikat carigali minyak, termasuk PETRONAS, anda akan bertemu dengan alamat fisikal syarikat sama ada dalam dan luar negara.

GAMBAR 4: ALAMAT PENDAFTARAN SYARIKAT DI KAWASAN BUSINESS LONDON

Carian mendapati Syarikat Petrosaudi didaftarkan di UK pada tahun 2009 terletak di London (GAMBAR 4). Tetapi alamat itu diduduki juga oleh syarikat bernama GLG Partners (GAMBAR 5). Adakah ini perkara biasa? Mengapa tiada website di UK setelah syarikat ditubuhkan pada tahun 2009?


GAMBAR 5: ALAMAT SYARIKAT NI SAMA DENGAN PETROSAUDI INTERNATIONAL 

Carian maklumat tentang syarikat petrosaudi international ini di dalam senarai Global Fortune 500 tidak mendatangkan hasil. Oleh kerana itu tuntutan supaya PAC menyiasat syarikat ini adalah munasabah. Di harap kerajaan akan dapat memberi jawapan tentang kedudukan pelaburan 1MDB yang bernilai BERBILLION RINGGIT dengan syarikat ini. Di harap ahli-ahli Parlimen dari BN dan PR prihatin. Rakyat berhak menjaga kepentingan aset negara.