Friday, March 25, 2011

Doa Secara Berjema’ah Bid'ah?



Sudah menjadi amalan masyarakat Islam di Malaysia ini, setelah selesai mereka akan berzikir dan berdoa bersama-sama. Yakni imam membaca doa manakala ma’mum mengaminkannya. Namun demikian terdapat juga segelintir yang terus angkat kaki meninggalkan saf tanpa terlebih dahulu berdhikir dan berdoa bersama-sama. Berkemungkinan mereka ada hajat atau keperluan yang perlu diselesaikan segera. Wallahu a’lam. Tetapi ada yang berbuat sedemikian kerana pemikiran mereka telah dijangkiti virus ‘Wahabi’ yang mengatakan bahwa perbuatan tersebut adalah BID’AH, dan pada mereka semua bid’ah adalah menyesatkan dan setiap yang menyesatkan masuk neraka. Dan yang masalahnya pula ‘virus’ tersebut cuba disebarkan kepada orang lain pula. Allahu Allah ….. Apakah benarkah perbuatan berdoa secara berjemaah itu bid’ah? Jom kita tengok apa apa kata ulama.

Al-Imam al-Muhaddits Abu al-Hasanaat Muhammad ‘Abdul Hay al-Laknawi al-Hindi رحمه الله  (wafat 1304H) menyebut di dalam kitab beliau berjudul Sibaahah al-Fikr fi al-Jahr bi al-Dhikir:
Terjemahannya: Dan adapun bolehnya berkumpul atau berjemaah untuk berdoa (berdoa secara berjemaah), maka ianya tsabit dari hadits yang diriwayatkan oleh al-Hakim, dan beliau berkata: (hadits ini) berdasarkan persyaratan Imam Muslim, secara marfu’: Tidak berkumpul satu kumpulan, lalu berdoa sebahagian mereka, dan mengaminkan sebahagian lainnya, melainkan diperkenankan Allah akan doa mereka.

Al-‘Allamah al-Muhaddits asy-Syeikh Ahmad bin ash-Shiddiq al-Ghumari al-Maghribi رحمه الله (wafat 1380H) pula menyebut di dalam risalahnya berjudul al-Minah al- Mathlubah fi Istijaab Raf al-Yadain fi ad-Du’a ba’d al-Sholaat al-Maktuubah:

Terjemahannya: Al-Hakim telah mengeluarkan di dalam al-Mustadrak, dan beliau berkata: (Hadits ini) shahih atas persyaratan Imam Muslim, daripada hadits Sayyidina Habib ibn Maslamah رضي الله عنه – dan adalah beliau seorang yang dikabulkan doanya –  beliau telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Tidak berkumpul satu kumpulan kaum Muslimin, lalu berdoa sebahagian mereka, dan mengaminkan sebahagian lainnya, melainkan Allah Ta’ala memperkenankan akan doa mereka.

Syeikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah رحمه الله dalam komentarnya terhadap hadits tersebut mengatakan: Hadits ini juga diriwayatkan oleh ath-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabiir (4/26, hadits no 3536 (Habib ibn Maslamah al-Fihri رضي الله عنه)). Dan al-Haitsami mengatakan di dalam Majma’ az-Zawaid (10/170): Perawi hadits ini adalah perawi-perawi yang shahih melainkan Ibn Luhai’ah, beliau adalah hasanul hadits (yakni haditsnya hasan dengan syarat dia tidak bersendirian dalam periwayatan dan riwayatnya tidak menyalahi riwayat para perawi lain yang lebih terpercaya (thiqah) berbandingnya). Dan perawi hadits yang meriwayatkan dari Ibnu Luhai’ah dalam hadits ini adalah Abdullah bin Yazid Abu Abdurrahman al-Muqri, dimana beliau adalah seorang ubaadalah yang periwayatannya dari Ibnu Luhai’ah terhitung paling adil dan kuat.

Hadits ini juga disenut oleh Imam asy-Syaukani رحمه الله di dalam kitab beliau Tuhfah az-Zakirin:
Dikeluarkan juga oleh al-Hakim, dan beliau berkata isnadnya shahih.  Bahwasanya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): Tidak berkumpul satu kumpulan, lalu berdoa sebahagian mereka, dan mengaminkan sebahagian yang lainnya, melainkan diperkenankan Allah doa mereka.

Hadits di atas menunjukkan bahwa dibolehkan seseorang berdoa manakala yang lain mengaminkannya, tidak kira samada selepas sholat atau di dalam mana-mana majlis pun.

Di dalam sebuah hadits lain yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: اَلدَّاعِيْ وَالْمُؤَمِّنُ فِي اْلأَجْرِ شَرِيْكَانِ. رواه الديلمي في مسند الفردوس بسند ضعيف.

Daripada Sayyidina Ibn Abbas رضي الله عنهما, beliau telah berkata: Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Orang yang berdoa dan orang yang mengaminkan sama-sama memperoleh pahala.” (Hadits riwayat al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dengan sanad yang dhaif).

Walaubagaimanapun, menurut al-Hafidz Ahmad bin ash-Shiddiq al-Ghumari رحمه الله dalam kitabnya al-Mudawi li-’Ilal al-Jami’ al-Shaghir wa Syarhi al-Munawi (4/43), kedhaifan hadits al-Dailami di atas dapat diperkuat dengan ayat al-Qur’an. Allah Ta’ala berfirman tentang kisah Nabi Musa عليه السلام:
قَالَ قَدْ أُجِيبَتْ دَعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا. (يونس : ٨٩)
Allah Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya telah diperkenankan doa kamu berdua, oleh kerana itu tetaplah kamu berdua pada jalan yang lurus.” (QS. Yunus : 89).

Dalam ayat di atas, al-Qur’an menegaskan tentang dikabulkannya doa Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام. Padahal yang berdoa sebenarnya Nabi Musa عليه السلام, sedangkan Nabi Harun عليه السلام hanya mengucapkan amin, sebagaimana diterangkan oleh para mufassirin.
Antaranya al-Imam Ibnu Katsir di dalam tafsirnya:

Terjemahannya: Dan kerana itulah telah memperkenankan Allah Ta’ala bagi Nabi Musa عليه السلام doa terhadap mereka (fir’aun dan kaumnya), manakala diaminkan oleh saudaranya Harun عليه السلام. Maka berfirman Allah Ta’ala (maksudnya): Dia berfiman: Sesungguhnya telah Aku memperkenankan doa kamu berdua. Berkata Abu ‘Aliyyah, Abu Sholeh, Ikrimah, Muhammad bin Ka’ab al-Quradzi dan ar-Rabi’ bin Anas: Telah berdoa Nabi Musa عليه السلام sedangkan Nabi Harun عليه السلام mengaminkan.

Al-Imam al-Qurthubi dalam tafsirnya, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, menyebut: Telah berkata Abu ‘Aliyah:
دعاء موسى وامّن هارون
Terjemahannya: Nabi Musa عليه السلام  berdoa sementara Nabi Harun عليه السلام mengaminkan. (al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, jilid 8, halaman 346)

Di dalam kitab al-Adab al-Mufrad oleh Imam al-Bukhari, ada hadits yang menceritakan bahawa Sayyiduna Jibril عليه السلام berdoa manakala Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mengaminkan doa tersebut.


Terjemahannya: Hadits 644: Daripada Sayyidina Jaabir bin ‘Abdullah رضي الله عنه bahwa suatu hari Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menaiki minbar. Ketika Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menaiki anak-tangga pertama, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengucapkan: Amin. Kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menaiki akan-tangga kedua lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengucapkan: Amin. Kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menaiki anak-tangga ketiga, lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengucapkan: Amin. Maka para shahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Kami mendengar engkau mengucapkan Amin, 3 kali. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم lalu bersabda: Ketika aku menaiki anak-tangga pertama, datang kepada Jibril lalu berkata: Celakalah seorang hamba yang menemui bulan Ramadhan lalu dia keluar darinya sedangkan dia tidak diampuni, lalu aku menjawab: Amin. Kemudian Jibril berkata lagi: Celakalah seorang hamba yang ada kedua ibubapanya atau salah seorang daripada keduanya (yang masih hidup) tetapi tidak dapat memasukkannya kedalam syurga. Maka aku berkata: Amin. Kemudian Jibril berkata lagi: Celakalah seorang hamba yang apabila disebutkan namamu disisinya tetapi  dia tidak mengucapkan shalawat keatasmu. Maka kau berkata: Amin.

Ath-Thabarani meriwayatkan di dalam kitab beliau Mu’jam al-Ausath daripada Sayyidina Ibn ‘Umar, beliau berkata:

صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاةَ الْفَجْرِ ، ثُمَّ انْفَتَلَ ، فَأَقْبَلَ عَلَى الْقَوْمِ ، فَقَالَ : " اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي مَدِينَتِنَا ، وَبَارِكْ لَنَا فِي مُدِّنَا وَصَاعِنَا ، اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي شَامِنَا ويَمَنِنَا " ، فَقَالَ رَجُلٌ : وَالْعِرَاقُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ، فَسَكَتَ ، ثُمَّ قَالَ : " اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي مَدِينَتِنَا ، وَبَارِكْ لَنَا فِي مُدِّنَا وَصَاعِنَا.

Terjemahannya: Telah bersholat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم akan sholat Shubuh. Kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berpaling menghadap kepada kaumnya, lalu berdoa: Ya Allah, berkatilah kami pada kota kami, berkatilah kami pada cupak dan gantang kami.

Al-‘Allamah as-Sayyid Muhammad Yusuf al-Banuri berkata di dalam kitabnya Ma’arif as-Sunan (3/123): “Maka ini (hadits di atas) dan hadits seumpamanya pada bab ini adalah memadai sebagai hujjah (dalil) bagi perkara yang dibuat secara beradat oleh manusia pada sekelian negeri, iaitu berdoa secara berjemaah selepas sholat. Kerana inilah juga telah menyebut fuqaha kami (yakni ahli fiqih bermazhab Hanafi) ….. Dan berkata Imam an-Nawawi dalam Syarah al-Muhazzab: Berdoa disunatkan bagi imam, makmum dan mereka yang bersholat seorang diri mengiringi semua sholat dengan ketiadaan khilaf ulama`. Dan katanya lagi: Disunatkan berhadap imam ke arah makmum dan berdoa.”

Dalam kitab Tsalatsu Rasaail fi Istihbaab ad-Du’a,  halaman 145, dinaqalkan kalam asy-Syeikh al-‘Allamah al-Muhaddits ‘Abdurrahman al-Mubaarakpuri al-Hindi dari kitab beliau Tuhfah al-Ahwadzi:


Terjemahannya: Faedah: Ketahuilah, bahwa ulama ahli hadits telah ikhtilaf (berselisih pendapat) pada zaman ini dalam masalah imam apabila telah selesai daripada sholat yang diwajibkan, apakah boleh baginya mengangkat tangan berdoa dan diaminkan oleh orang dibelakangnya, yakni makmum dengan mengangkat tangan mereka?

Maka berkata sebahagian ulama dengan membolehkannya dan sebahagian lagi tidak membolehkannya kerana menyangka mereka itu ianya adalah perbuatan bid’ah (dholalah). Berkata mereka itu (yang tidak membolehkannya) bahwa yang demikian itu tidak tsabit daripada (hadits) Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dengan sanad yang shahih. Bahkan ianya adalah perkara baharu. Dan setiap perkara baharu adalah bid’ah (dholalah). Adapun pun yang mengatakan dengan bolehnya, mereka berdalilkan dengan 5 hadits ……

Nah, inikan permasalahan yang diperselisihkan (ikhtilaf)? Maka berlapang dadalah! Bagi kalian yang mengatakan perkara ini bid’ah, tidak mengapalah lah kerana itu pendapat kalian. Namun jangan disalahkan kami yang mengamalkannya kerana kami juga punyai dalil. Berlapang dadalah dalam hal-hal yang sebegini. Kesatuan umat lebih utama untuk diberikan perhatian.

Akhirkata, berdasarkan paparan ringkas di atas, maka dapatlah disimpulkan bahwa membaca doa bersama atau berjema’ah, di mana salah seorang di antara jema’ah memimpin doa, manakala yang lain mengucapkan amin, baik hal tersebut didahului dengan dhikir bersama ataupun tidak,  selepas sholat ataupun tidak, adalah dibolehkan kerana perbuatan tersebut mempunyai dalil berdasarkan al-Qur’an dan hadits. Maka amalkanlah tanpa ragu-ragu dan was-was kerana ianya bukanlah bid’ah di sisi kita sebagaimana yang dikatakan oleh golongan mu’taridhin (orang-orang yang menentang ‘amalan tersebut a.k.a Wahabi).

Sekian dari,
Al-Fagir ilaLlah Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
Lepas dzohor, Khamis, 19 Rabi’ ats-Tsani 1432

No comments:

Post a Comment