Saturday, December 3, 2011

Pulau Redang, rakyat cuba bangkit di celah gahnya pembangunan



Meredah Laut Cina Selatan menuju Pulau Redang
Kesempatan menghadiri perasmian ihtifal PASTI Pulau Redang baru-baru ini mengungkap banyak perkara yang selama ini tersembunyi di seberang Laut China Selatan dari makluman umum.
YDP Setiu turut hadir, berbaju batik kuning adalah ketua Pas Cawangan
PASTI Pulau redang dengan kapasiti 24 orang pelajar sebenarnya mengatasi jumlah pelajar TADIKA KEMAS yang hanya memiliki seramai 20 pelajar. Lebih membanggakan, beberapa orang pelajar adalah anak-anak AJK Umno cawangan yang dikhabarkan bapa mereka pernah menerima surat tunjuk sebab dari Pengerusi JKKK atas tindakan mereka menghantar anak-anak belajar di PASTI.
Kemeriahan ihtifal memang sangat terasa terutamanya ketika sesi sukaneka pada petangnya dengan kehadiran masyarakat sekitar termasuk wakil dari Balai Polis Pulau Redang, Klinik Kesihatan Pulau Redang serta Tuan Imam Masjid Pulau.
Suatu ciri unik yang agak menarik perhatian saya adalah pergaulan masyarakat setempat yang kelihatan begitu rapat dengan sempadan fahaman politik dilihat tidak begitu dijadikan pemisah dalam perhubungan seharian. Kehadiran gadis-gadis yang tidak bertudung dan turut serta mengambil bahagian dalam acara sukaneka, bagi saya yang melihat dari sudut pendekatan dakwah, adalah suatu perkembangan yang sangat baik kerana mereka sedia memaklumi bahawa penganjur ihtifal dan sukaneka adalah Parti Islam Semalaysia! Ertinya ada tembok pemisah yang berjaya dirungkai oleh kepimpinan PAS Cawangan Pulau Redang. Sekalung tahniah untuk mereka.
Pelajar PASTI yang sedang mempersembahkan hafalan doa adalah anak seorang AJK Umno cawangan
Untuk rekod, sebenarnya prestasi UPU Pulau Redang dalam PRU 12 yang lalu adalah sangat memuaskan dengan angka kekalahan hanyalah sekitar 100 undi, pencapaian yang mampu mengatasi banyak UPU-UPU di tanah besar.
Sehari suntuk berkesempatan meninjau dan memahami kehidupan masyarakat di sini, kelihatan mereka cuba bangun dan membina kehidupan bermaruah di sini walaupun seinci demi seinci bumi tanah tumpah darah mereka diambil pihak lain yang gah membina reputasi perniagaan memanipulasikan keindahan pulau dan laut anugerah Allah.
Masjid Pulau Redang yang perlu dioptimunkan fungsinya
Masjid yang indah tersergam di atas bukit, sebagaimana dimaklumkan oleh Tuan Imam masih dikunjungi penduduk untuk menunaikan solat berjamaah sekalipun hanya pada waktu malam. Dia menyambut baik cadangan saya untuk membantu menghantar tenaga-tenaga penceramah bagi mengisi slot-slot kuliah dalam rangka untuk membantu membina rohani dan jati diri penduduk. Sepatah katanya yang membuatkan saya terasa sebak, “Kalau kita sendiri tidak membantu membina masyarakat kita, tak kan kita nak harapkan umno, kami tak kesempitan wang ringgit, tapi bantulah kami untuk sama-sama mendekatkan diri kepada Allah…” Lantas, tindakan segera diambil melalui perbincangan dengan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, secara dasarnya kami bersetuju untuk menghantar seorang pengkuliah sebulan sekali yang akan bermula sebaik musim tengkujuh berakhir nanti. Keputusan ini disambut beliau dengan wajah ceria dan penuh harapan.
Jeti Pulau Redang, antara kawasan pantai yang masih menjadi milik awam
Melalui kehidupan masyarakat pulau yang semakin hari semakin sempit terutamanya kawasan pantainya yang telah menjadi hak ekslusif resort-resort terkemuka terutamanya, tentu sekali milik Tan Sri Vincent Tan, BERJAYA Group. Kawasan pantai yang indah kurnian Allah cuma boleh kita kunjungi apabila menjadi tetamu di mana-mana resort mewah yang kadar cajnya bukanlah untuk taraf rakyat kebanyakkan. Pantai yang menjadi milik awam hanyalah kawasan jeti. Saya sama sekali tidak menyangka wujudnya keadaan sebegini sehinggalah apabila dimaklumkan oleh Ketua PAS Cawangan Pulau Rhedang apabila kami melakukan tinjauan bersama menaiki sebuag van rusa buruk.
Lapangan Terbang milik Berjaya Group, lambang kemewahan di atas kesempitan rakyat
 Apatah lagi kawasan lapangan terbang milik Berjaya Air. Walaupun sekadar untuk meninjau suasana dan mengambil gambar, saya ditegur oleh seorang pengawal keselamatan warga Bangladesh. “Sorry! No permission!” Mungkin itulah ungkapan yang diajar oleh tuannya.  Tentunya belum ada walaupun seorang pun warga Pulau Redang yang berkesempatan ‘menikmati’ penerbangan ini walaupun hakikatnya tanah merekalah yang telah dikorbankan oleh Umno untuk dihadiahkan kepada Vincent Tan sehingga mereka seolah-oleh menjadi penumpang di tanahair sendiri. Kelihatan beberapa orang pelancong ‘orang putih’ sedang menunggu penerbangan ke destinasi yang tidak dimaklumi sedangkan dalam masa yang sama, kami dihalau oleh pengawal keselamatan lapangan terbang walaupun sekadar meminta izin untuk membuat pusingan U, sehingga hati kecil ini berdetik, inilah harga yang rakyat pribumi perlu bayar demi sebuah pembangunan ciptaan Umno.

No comments:

Post a Comment