Saturday, December 17, 2011

Asalkan Bukan Umno bergema lagi

Gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) yang menjadi sebutan menjelang pilihan raya 2008 kembali meraih perhatian dalam acara sulungnya di tapak markas tarbiah PAS, Taman Melewar malam tadi.

Sebelum ini, ABU hanya dikenali melalui contengan grafiti di dinding dan tembok sekitar Kuala Lumpur dan juga cakap-cakap di kedai kopi.

Ceramah pertama yang dijalankan malam tadi bagaimanapun mula menampakkan bentuk "Gerakan Rakyat Membebaskan Malaysia Dari Cengkaman Umno/BN" ini.

Program ceramah rakyat itu membariskan wakil daripada golongan masyarakat yang rata-ratanya menyuarakan kekecewaan terhadap Umno dan BN serta menyeru supaya parti berkenaan tidak lagi dipilih dalam pilihan raya akan datang.

Bekas pemimpin muda PKR, Badrul Hisham Shaharin yang bertindak sebagai pengerusi ceramah berkata, ABU bukanlah satu pergerakan politik tetapi satu "semangat dan iltizam rakyat untuk menghumbankan Umno."

NONE"Ia bukan milik sesiapa," katanya lagi yang menambah, gerakan itu juga tidak mempunyai pemimpin tapi bergerak atas semangat sama untuk mengundi selain Umno dan BN.
Antara pemimpin politik yang ditampilkan dalam ceramah berkenaan ialah naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, presiden Gerakan Masyarakat Sivil Malaysia (MCLM), Haris Ibrahim, setiausaha agung PSM, S Arutchelvan dan juga wakil SAPP, Benny Loh.

Mahfuz dalam ucapannya di ceramah berkenaan berkata, kempen ABU itu membawa semangat sama yang menghumbankan parti Liberal Democratic Party di Jepun pada pilihan raya di negara berkenaan dua tahun lalu.

ABU seperti di Jepun
Katanya, LDP tidak ubah seperti Umno yang membentuk kerajaan secara berterusan di negara berkenaan selama 54 tahun.

Anehnya, ramai yang memilih untuk tidak menyokong LDP pada pilihan raya 1999 berbuat demikian tanpa mengetahui dasar dan juga tawaran oleh parti alternatif – Democratic Party yang baru dibentuk setahun sebelum itu.

NONE"Bila ditanya (sebab undi Democratic Party), pengundi kata 'oh asalkan bukan LDP," kata Mahfuz lagi.
Beliau turut menyeru supaya para hadirin berkenaan tidak termakan dengan kebimbangan yang ditimbulkan Umno bahawa Malaysia akan hilang kemajuan sekiranya kerajaan berubah.

Katanya, ekonomi Jepun yang jauh lebih maju daripada Malaysia tidak terjejas walau kuasa politik itu berubah kepada parti baru.

"Takkanlah mereka tidak terfikir bahawa mereka akan hilang kemajuan jika buat perubahan," soalnya lagi.

Bagaimanapun, fokus utama program itu ialah luahan perasaan daripada rakyat biasa yang diangkat ke pentas ceramah berkenaan, kata Badrul Hisham.

Antaranya ialah seorang pekerja kilang, Zuraidi Abdullah yang membangkitkan mengenai masalah yang dialami oleh pekerja industri yang tidak dilindungi gaji minimum dan juga manipulasi oleh majikan dalam kontrak kerja.

"Gaji RM600 memang tak cukup untuk tampung kos sara hidup hingga pekerja terpaksa kerja lebih masa. Mereka akan berada lebih 12 jam di tempat kerja," katanya pemuda dari Melaka itu lagi.
'Akta tak bermaruah'

Isu berkenaan turut diulas oleh seorang aktivis pekerja, Jaafar Malik yang mempertikaikan langkah kerajaan untuk membiarkan majikan menetapkan gaji pekerja mengikut harga pasaran.

NONE"Harga pasaran itu apa? Adakah kita ini sama dengan kobis? Sama dengan cili? Sama dengan lembu?," katanya yang disambut gelak ketawa daripada lebih 700 orang yang hadir.

Setidak-tidaknya kerajaan perlu merangka dasar gaji minimum sekiranya tidak mampu untuk membuat akta khusus, kata Jaafar (foto kiri).

"Tapi ini dasar pun tak boleh diwujudkan," tambahnya yang memuji langkah Selangor berhubung penetapan takah RM1,500 untuk gaji minimum kakitangan kerajaan negeri itu.

Anggota exco Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia itu juga menyamakan langkah kerajaan untuk memperkenalkan sistem kontraktor tenaga kerja melalui pindaan Akta Kerja 1955 dengan sistem dalam industri seks.

"Strukturnya mudah. Ada bapa ayam dan ada anak ayam, itulah dia kontraktor pekerja.
"Anak ayam yang kerja dan bapa ayam dapat hasil, jadi memanglah akta ini tak bermaruah," katanya lagi yang mahu pekerja mengadakan demonstrasi besar pada Februari depan untuk membantah pindaan berkenaan.
'Hancurkan Umno'

Turut mencuri perhatian ialah seorang kontraktor binaan, Yusof Tapa, yang mendakwa telah menghadapi masalah untuk mendapatkan kontrak apabila tidak lagi bersama Umno.

NONE"Orang Umno ini tak boleh tengok orang senang," katanya yang mendakwa telah disenarai hitam daripada menerima projek sejak tiga tahun lalu.

Namun, beliau tetap berjaya mendapatkan dua projek melalui lesen kontraktor rakan-rakannya dan akan menyelia projek di jalan-jalan berkenan.

Perkara itulah yang menimbulkan kemarahan pihak tertentu yang menimbulkan pertanyaan: "Apa pasal Yusof Tapa duduk tepi jalan, dia dapat kerja ke?"

Sedangkan, beliau mendapat projek berkenaan melalui saluran yang betul, kata bekas pemimpin di satu bahagian Umno Negeri Sembilan itu.

Perkara itu menunjukkan bahawa pemimpin berkenaan Umno, yang juga menjawat jawatan dalam  perbadanan negeri, bukanlah berjuang untuk kepentingan Melayu tetapi untuk kepentingan kroni mereka sendiri, kata Yusof.

"Jadi kalau ada yang masih dengan Umno kita tinggalkanlah. Kita sertai Pakatan Rakyat, kita kempen untuk hancurkan Umno," katanya lagi.

Sumber: Kedahlanie.info

No comments:

Post a Comment