-Jawapan EXCO Pertanian dan Industri AsasTani Terengganu sambil lewa dan tak meyakinkan.
Isu projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu yang diusahakan oleh Syarikat Blue Archipelago Berhad buat pertama kalinya menjadi perhatian sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu yang berakhir 8 Disember 2011 lalu. Walaupun soalan bertulis berkaitan projek ini ditolak oleh Speaker Dewan, tetapi Lujnah Alam Sekitar PAS Terengganu merakamkan penghargaan kepada wakil-wakil PAS yang berusaha membangkitkan perkara ini semasa sesi perbahasan.
Kebun penduduk yang dimusnahkan untuk memberi laluan kepada projek i-SHARP |
Sebelum ini, walaupun perlaksanaan projek telah berjalan dalam tempoh melebihi dua tahun dengan pelbagai impak sampingan mulai dirasai dan terdedah, kerajaan seolah-olah ingin menyembunyikan hakikat sebenar projek ini dari makluman umum. Apabila didedahkan dengan fakta-fakta yang sukar disangkal barulah kerajaan berjanji akan memantau perlaksanaan projek yang dikatakan akan menjadi penanda aras bagi kerajaan negeri untuk menerima pelabur lain yang ingin melabur di dalam bidang yang sama di negeri ini.
EXCO berkenaan dipetik sebagai berkata, “Prestasi syarikat ini penting diperhatikan kerana ada lagi pelabur luar yang mahu melabur dalam penternakan udang di sini, kita kena lihat kejayaan syarikat yang sedia ada dahulu sebelum terima pelabur baru yang lain.”
Benar atau tidak adanya pelabur lain yang ingin melabur dalam bidang yang sama, bukanlah isu yang ingin diperincikan, tetapi apa yang di ketengahkan oleh Lujnah Alam Sekitar PAS Terengganu adalah impak alam sekitar dan sosio-ekonomi yang terang lagi bersuluh serta telah berlaku di depan mata penduduk sekitar.
Kalaulah YB EXCO ingin meneliti penanda aras, YB EXCO sendiri menyatakan bahawa syarikat yang sama menguruskan projek udang di Kerpan, Kedah yang sebelum ini telah disahkan oleh YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah, EXCO Pertanian Kedah sebagai tidak memberikan hasil yang sepatutnya. Kenapa tidak dirujuk kepada Kerajaan Kedah yang tentunya lebih berpengalaman dalam hal berkaitan lantaran Projek Udang Kerpan telah bermula sejak 1993 lagi?
Kenapa YB EXCO yang juga bersal dari Setiu cuba lari dari isu sebenarnya dengan menimbulkan pula soal penanda aras bagi menerima pelabur tetapi memejamkan mata dengan isu setempat terutamanya kejadian banjir luar biasa yang melanda sekitar Permaisuri baru-baru ini, yang telah diperkukuhkan lagi faktanya oleh laporan TV al Hijrah dan laporan akhbar harian tempatan di samping apa yang telah didedahkan oleh Lujnah Alam Sekitar PAS Terengganu sebagai berpunca dari kerja-kerja projek i-SHARP ini.
Kalaulah betul kerajaan melakukan pemantauan terhadap projek ini, maka saya dengan segala hormatnya menyimpulkan bahawa jawatankuasa pemantauan ini memang tidak melaksanakan kerja yang diamanahkan. Kalau tidak, mana mungkin kerajaan boleh berlagak bodoh dengan satu demi satu impak negatif yang berlaku di depan mata.
Tuntutan kita bukannya supaya pihak kerajaan memberikan jawapan politik yang tak berkesudahan, tetapi tindakan tegas dan berkesan sebelum nasi menjadi bubur. Ditambah lagi dengan hujan yang mula mencurah semula dengan kemungkinan banjir gelombang kedua akan melanda sekali lagi. Bukan juga isu yang ingin ditimbulkan di sini apabila penduduk sekitar Permaisuri mengadu tentang ketiadaan sebarang agensi penyelamat yang membantu kerja-kerja menyelamat semasa kejadian banjir gelombang pertama baru-baru ini. Betulkah ada pemantauan sebagaimana dakwaan YB EXCO atau bagaimana?
Suatu perjudian yang besar apabila sebuah syarikat yang belum berjaya membuktikan hasil dan prestasi dalam industri berkaitan dianugerahkan 1,000 hektar tanah dengan taraf pajakan selama 30 tahun yang turut mengorbankan hak dan mata pencarian rakyat kemudian menghasilkan pula impak negatif alam sekitar dan sosio ekonomi setempat sedangkan hasilnya masih terlalu samar. Lebih dangkal apabila pihak kerajaan mula bercakap untuk menerima pelabur baru yang lain bagi menerokai bidang yang sama di negeri ini. Berapa ribu hektar lagi tanah akan dianugerahkan kepada mereka?
Sumber: Dr. Azman Ibrahim
No comments:
Post a Comment