Sunday, February 5, 2012

Kini, orang melayu mula menyertai DAP secara berjemaah!

Jika ada peluang, saya akan sertai DAP

Ahmad Tajuddin Abdullah

http://www.thenutgraph.com/wp-content/uploads/2010/08/SpotlightonDAP.jpg
Kenyataan ini seolah-olah saya mahu menyertai politik selepas tamat pengajian. Tidak, bukan itu maksud saya. Tetapi sedikit komentar dari saya setelah memerhatikan beberapa siri kejadian yang tidak disangka-sangka oleh ramai rakyat Malaysia yang aktif memerhatikan gelombang politik tanah air muttakhir ini.

Siri kemasukan ramai nama-nama besar melayu (terpulang kepada persepsi pembaca) ke dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) akhir-akhir ini menimbulkan persoalan, apakah tuduhan dan serangan Umno selama ini terhadap parti tersebut tidak berjaya mempengaruhi orang melayu?

Saya membaca beberapa keluhan dan rasa resah dalam kalangan rakan-rakan saya dan komen-komen pembaca mengenai berita ini, dengan menganggap mereka yang menyertai DAP sudah lupa asal usul, terpengaruh dengan ideologi komunis, dasar tidak mengenang budi dan sebagainya.

Bagi saya, ini lumrah dunia politik. Orang akan mengecam segala 1001 perkara yang mereka tidak suka. Tambahan pula, apabila perkara itu berlawanan dengan kebiasaan mereka.

Datuk Saifuddin Abdullah ada menulis sebuah artikel yang disiarkan oleh Sinar Harian berkenaan politik fitnah dan hikmah di Malaysia. Artikel yang bagus, seolah-olah Saifuddin ingin menegur barisan partinya sendiri mungkin. Ini telahan saya.

Jika dalam artikel tersebut, Saifuddin mengutarakan idea berkenaan politik hikmah yang wajib didasari oleh setiap warga Malaysia bagi menentang politik fitnah yang cukup keji, maka kali ini saya mengutarakan pula idea politik matang bagi mengatasi sindrom politik takut dalam diri rakyat Malaysia terhadap beberapa perkara yang dipalsukan kebenarannya oleh pihak-pihak tertentu.

Melayu sudah lama ditipu

Saya merujuk kepada beberapa penulisan oleh Aspan Alias dan Sakmongkol 47 selepas mereka berdua secara rasmi mengisytiharkan kemasukan mereka ke dalam DAP yang membongkar beberapa titik penting untuk dibincangkan dalam artikel ini.

Antaranya, orang melayu sudah sekian lama ditipu bulat-bulat oleh Umno/BN melalui media mereka bahawa DAP itu parti Cina. Bukan sekadar Cina, malah mereka menambah lagi garam dengan mengatakan bahawa DAP itu anti-Melayu, anti-Raja, chauvinist, mahu menjadikan Perdana Menteri dari orang Cina dan pelbagai lagi.

Melayu ditakut-takutkan sejak sekian lama dengan kenyataan yang tidak berasas. Seolah-olah negara ini tiada perlembagaan, dan orang-orang DAP tidak tahu menghormati perlembagaan!

Orang-orang kampung apabila mendengar perkataan DAP, seolah-olah kita menyebut segerombolan komunis memasuki kampung. Sampai begitu sekali ketakutan yang Umno/BN berjaya tanamkan dalam diri hampir keseluruhan masyarakat melayu terutamanya mereka yang lahir pada era 80-an dan ke bawah.

Malah, tidak terkecuali sebahagian besar mereka dalam kalangan generasi saya pun!

Menakutkan Melayu demi survival politik

Rasanya mungkin ini hujah paling tepat kenapa sindrom takut ini ditanam dalam diri setiap warga Malaysia. Mudahnya, mereka yang sedang berkuasa ingin terus mengekalkan survival kuasa itu dalam genggaman tangan mereka.

Cara paling mudah ialah dengan memberi gambaran seburuk mungkin kepada rakyat terhadap pihak lawan mereka. Sentimen perkauman adalah bahan bakar yang paling mudah disambar api.

Pantang disentuh, pasti marak apinya tanpa mampu disekat.

Perkara biasa yang kini hampir basi ialah kedudukan Raja, Islam dan ketuanan melayu. Inilah melodi yang dimainkan oleh parti pemerintah sekarang untuk menakut-nakutkan orang melayu.

Mereka berbuat demikian dalam keadaan mereka menyekat pelbagai sumber lain untuk rakyat menilai dan berfikir. Minda rakyat terutamanya melayu dikongkong dengan sentimen basi ini. Pantang dikritik, pasti melenting dengan isu basi ketiga-tiga di atas.

Setiap kali pilihan raya, inilah antara melodi yang paling hangat. Rakyat bukan bodoh, tetapi mereka tidak mendapat maklumat yang meluas. Mereka dipaksa untuk menerima penipuan tersebut hidup-hidup.

Mereka yang tidak pernah di ajar untuk berfikir, akan cuma pandai bertempik dengan semangat kemelayuannya yang akhirnya pak menteri bina rumah banglo bertingkat-tingkat, rakyat yang diperbodohkan miskin merempat.

Setiap tahun mereka perbaharui penipuan ini di PWTC dengan laungan penuh semangat, Hidup Melayu!

Seperti saya tulis di atas, hal ini semua dilakukan demi survival kuasa memerintah mereka.

Datuk Onn pencetus idea politik matang

Saya masih ingat tentang sebuah artikel yang pernah disiarkan dalam akhbar Harakah, mengulas panjang tentang fenomena di Malaysia semasa dan selepas PRU-12.

Kebanyakan orang tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti orang melayu Islam mengundi calon Cina sebagai wakil rakyat mereka, dan juga masyarakat Cina yang sanggup menerima calon PAS sebagai wakil mereka.

Ini luar dari jangkaan ramai. Ketika Datuk Onn menyuarakan cadangan agar keahlian Umno dibuka kepada bukan Melayu, beliau telah ditentang oleh ahli-ahli Umno sendiri sehingga Datuk Onn membuat keputusan keluar dari parti tersebut dan menubuhkan Parti Malaya Merdeka (Independence of Malaya Party).

Menjadi persoalan di sini, kenapa Datuk Onn mampu melontarkan cadangan yang begitu luar dari kerangka masyarakat ketika itu berfikir sehinggakan ramai menganggap beliau sudah tidak relevan?

Hakikatnya, beliau sendiri telah nampak perubahan politik yang bakal berlaku pada tahun 2008 ketika itu.

Namun, pemimpin Umno ketika itu membutakan mata mereka daripada memandang hal yang sama. Mereka lebih senang menggunakan helah dan penipuan seperti yang saya nyatakan di atas demi mengekalkan kuasa yang ada di tangan mereka.

Saya merasa amat yakin, jikalau cadangan Datuk Onn diterima ketika itu sudah tentu permasalahan sindrom politik takut yang melanda masyarakat Malaysia dapat ditamatkan.

Saya menghormati Datuk Onn kerana keberaniannya melawan arus masyarakat ketika itu, demi tujuan melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang matang dan benar-benar harmoni.

Beliau cuba mendidik masyarakat melayu ketika itu, menyedarkan mereka dari tidur bahawa Malaysia ini bukan milik orang melayu sahaja tetapi mereka berkongsi tanah yang sama dengan rakan cina dan india. Beliau telah mencetuskan satu arus pencerahan yang amat sukar diterima pada waktu tersebut.

Kini, idea cetusan beliau itu makin marak malah telah menyebabkan pihak pemerintah menggigil ketakutan. Bayangkan seorang apek cina tidak malu mengangkat sepanduk "Kami Sayang Tok Guru" dan PAS sudah siap dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dianggotai oleh mereka yang bukan Islam.

Kini, orang melayu mula menyertai DAP secara berjemaah!

http://media1-cdn.malaysiakini.com/429/83f394f9c265867bd0a34e1f443a8104.jpg
Kenapa sertai DAP?

Ya, saya mahu menyertai DAP. Saya mahu mendidik masyarakat di sekitar saya bahawa DAP bukan komunis. DAP bukan cina. DAP bukan anti-Melayu. DAP bukan chauvinist. DAP bukan anti-Islam. DAP bukan semua tanggapan kolot di atas.

DAP adalah parti politik yang sah di sisi Perlembagaan Malaysia. Tiada beza taraf DAP dan Umno dari sudut perundangan. Cuma bezanya antara dua parti itu ialah DAP cuba mencerdikkan rakyat dan Umno sudah sekian lama menipu rakyat.

Walaupun sudah ramai masyarakat Malaysia sedar tentang hakikat ini, namun hal ini hanya berlegar di kawasan yang mempunyai capaian maklumat yang tepat sahaja.

Bagaimana dengan nasib warga FELDA?

Bagaimana dengan nasib penduduk Sabah dan Sarawak?

Bagaimana dengan nasib masyarakat di kawasan pedalaman?

Hanya dengan kesediaan masyarakat yang sedar dan matang politik, untuk berani terjun melakukan sesuatu yang lain dari kelaziman maka cetusan pencerahan ke arah politik matang ini dapat dipercikkan.

Semakin ramai yang berani membuat keputusan begini, sudah tentu sindrom politik takut itu dapat dikurangkan hari demi hari. Pergiatkan program-program pencerahan kepada masyarakat.

Saya tidak tulis di sini bahawa hanya dengan menyertai DAP sahaja satu-satunya cara untuk membina sebuah masyarakat yang matang politiknya, tetapi ini salah satu usaha ke arah itu.

Masyarakat yang matang politiknya akan mampu berfikir secara rasional, tidak terpengaruh dengan sentimen perkauman, sedar akan hak mereka untuk berfikir dan memilih secara bebas tanpa dikongkong, tidak terperangkap dengan sindrom kerajaan pemerintah adalah kuasa segala-galanya tetapi insaf bahawa merekalah sebenarnya penentu siapakah yang akan menjadi pemimpin kepada mereka sendiri.

Saya terpegun dengan berita 2 graduan perundangan UiTM menyertai DAP. Timbul di benak saya, apakah ada "perancangan" yang gagal sehingga terjadinya kes sebegini terhadap graduan UiTM?

Mari kita baca ini, sambil berfikir secara orang dewasa yang matang.

Wallahualam.
 
Sumber: KedahLanie.info.

No comments:

Post a Comment