Saturday, February 18, 2012

Buang Buku Jingga Mat Maslan Ulangi Perbuatan Anwar, Khir Toyo


Bila saya tengok gambar Ahmad Maslan sedang memegang Buku Jingga untuk dibuang ke dalam tong sampah di sebuah pentas yang indah di hadapan para peneroka saya teringat kepada dua peristiwa satu yang menimpa ke atas diri saya sendiri dan satu lagi ke atas Pegawai Daerah Hulu Selangor.

Peristiwa yang menimpa saya ialah bagaimana Anwar Ibrahim mengherdik dan memperlekehkan saya apabila saya menulis sebuah buku politik berjudul Anwar Ibrahim: Mimpi Dan Realiti. Buku itu mengkritik peribadi dan stail politiknya. Kejadian itu berlaku selepas tiga tahu apabila berliau tersua dengan saya di parlimen.

Saya masih ingat antara herdikan Anwar; "Buku you memalukan apa lagi kalau dibaca oleh anak-anak sekolah, elok di tong sampahkan!" Oh...begitulah kata Anwar dengan suara yang angkuh. Di sekelilingnya ada beberapa orang kawan saya yang mendengar herdikan Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri Malaysia orang nombor dua terkuat di Tanah Malaya.

Saya tidak mudah gelabah dan gentar dengan herdikan Anwar. Saya menjawab dan menyambut kata seperti mana gendang yang Anwar tabuhkan. Dia juga peragah dengan tindakan saya yang dia kira saya anak cicak.

Di dalam buku itu ada saya tulis fasal dia bergambar dengan perempuan dan bersalam dengan wanita bukan ajnabi. "Lepas ini dengan perempuan mana pula you nak taruh dalam buku?" begitu tanya Anwar dengan menyinga.
Tanpa membiarkan saat berlaku saya terus menjawab; "tenguklah dengan artis mana you bergambar saya akan masukan."

Selepas itu ada lagi dialog keras dan kering saya dengannya. Rasanya tidak elok kalau saya turunkan di sini sebab perkara ini sudah berlaku lebih 19 tahun. Peristiwa itu berlaku tahun 1993 dan mungkin Anwar sudah pun melupainya apabila beliau membaca buku saya membela beliau selepas dizalimi Mahathir berjudul; Sumpah dan Airmata: Reformis Bangsa.

Peristiwa kedua yang mengimbaukan ingatan saya tatkala melihat gelagat Mat Maslan ialah yang menimpa pegawai daerah Hulu Selangor yang dihadiahkan penyapu oleh Khir Toyo yang ketika itu menjadi menteri besar Selangor. Pegawai itu dihadiahkan penyapu kerana jajahan yang dibawah pentadbirannya gagal menunjukkan prestasi seperti mana ditetapkan, pentadbiran lemah menyebabkan cukai tidak banyak dikutip.

Kononnya dengan pemberian penyapu itu sebagai simbolik untuk pegawai itu membuat pembesihkan ke atas para pegawainya yang lemah dan gagal mencapai prestasi yang diharapan. Pemberian itu dibuat di satu majlis yang dihadiri oleh semua pegawai daerah. Niat Khir mungkin baik tetapi cara yang dibuatnya tidak beradat.

Kedua peristiwa yang saya sebut tadi, baik yang menimpa saya oleh Anwar dan yang menimpa pegawai daerah Hulu Selangor oleh Khir Toyo seakan telah terbalas. Walaupun saya tidak mengharap Anwar jadi seperti hari ini, terlepas jawatan Perdana Menteri di era Mahathir, tetapi ia terubat dengan apa yang ada hari ini. Yang sudah biarlah sudah malahan hari ini simpati dan kesian saya kepada Anwar menyebabkan saya membela kezaliman dilakukan terhadapnya.

Setidak-tidaknya Anwar akan mengenang kembali apa yang saya tegur beliau dalam buku berkenaan. Apa yang saya peringatkan kepadanya di dalam buku berkenaan adalah demi kebaikannya tetapi dianggap sebaliknya waktu itu. Itu satu kesilapan di mana kita sebagai manusia jangan mudah meremehkan nasihat orang lain hatta dari siapa yang memberi nasihat dan kritikan itu.

Begitu juga nasib yang diterima Khir hari ini telah menginsafkannya. Walaupun pemberian penyapu itu bukan sebab utama beliau menjadi seperti hari ini tetapi Khir boleh ingat kembali bahawa perbuatan itu memalukan pegawai daerah berkenaan. Walaupun Khir berniat baik demi untuk meningkatkan daya kerja dan memajukan Selangor tetapi hadiah itu tidak kena dan mengaibkan orang lain. Apa lagi penyapu dalam budaya Melayu sesuatu yang menyialkan. Apabila kita mengaibkan orang lain sebegitu rupa maka lambat laung kita juga akan merasai aid yang sama.

Hari ini saya rasa pegawai yang menerima penyapu itu boleh hidup aman damai dalam perasaraanya, sebaliknya Khir masih bergelumang dengan rasa takut, malu dan hina kerana didapati bersalah melakukan rasuah dan dijatuhi hukum penjara selama 12 bulan.

Apa yang hendak diceritakan hari ini, ialah hal yang hampir sama berlaku yang dilakukan oleh Ahmad Maslan. Perbuatan Mat Maslan membuang Buku Jingga satu perbuatan menghina Pakatan Rakyat khasnya dan rakyat seluruhnya. Tidak patut Mat Maslan berbuat demikian kerana ia menguris hati orang. Apa yang Mat Maslan lakukan itu sama nilainya dengan tindakan Anwar mengherdik saya dan juga Khir memberi penyapu kepada Pegawai Daerah Hulu Selangor itu.

Sebagai orang politik Mat Maslan tidak sepatutnya berbuat begitu. Beliau seharusnya sedar Buku Jingga adalah kitab politik Pakatan Rakyat. Ia adalah janji dan manifesto Pakatan Rakyat. Betapa pun janji dan manifesto itu tidak munasabah dan tidak tersaul dek akalnya, tetapi beliau tidak boleh menghina kerana sebagai manifesto ia adalah kita suci dalam politik.

Bukan saja Buku Jingga itu tetapi mana-mana manifesto parti politik tidak boleh dihina. Ia adalah kitab suci politik. Sepatutnya sebelum membuat gimik itu di hadapan peneroka Mat Maslan cuba bayangkan bagaimana kalau ada orang lain mencampak kertas dasar Felda atau pun bendera Umno ke dalam tong sampah. Beliau harus menyelami secara piskologis bagaimana perasaan orang yang menyanjungi buku berkenaan.

Kepada saya apapun alasan tindakan Mat Maslan tidak bijak dan meletakkan dirinya sebagai orang yang tidak matang dalam politik. Seperti mana kata Presiden Anak, Mazlan Aliman apa yang sepatutnya Mat Maslan lakukan ialah membahas secara akdemik apa yang dicatat dalam Buku Jingga berkenaan bukannya menohoknya ke dalam tong sampah.

Era ini bukan lagi zaman orang berak dan kencing atas bendera. Menyatakan kemarahan demikian adalah jenis orang yang tidak ada akalbudi dan belum tamadun.

Sikap Mat Maslan itu kurang lebih daripada perangai Inchek Ibrahim Ali sahaja ataupun kumpulan Melayu polong yang memijak kepala lembu atau pun menganggu ceramah-ceramah Pakatan Rakyat. Apakah Mat Maslan juga sudah dijangkit sindrom takut dan desperate sehingga hilang akal?

Peluang masih ada untuk Mat Maslan membersihkan dirinya. Beliau boleh memohon maaf atas perbuatan itu dan mengambil balik Buku Jingga yang dilemparkan ke dalam tong sampah. Paling afdal bagi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga Felda itu ialah merukupkan tong sampah ke atas kepalanya kemudian berjalan keliling padang sebanyak 50 kali.

Sumber: msomelayu

No comments:

Post a Comment