Friday, February 24, 2012

Bakar Al-Quran: Ratusan Berdemo Di Kedutaan AS





(Demo membantah tindakan Amerika di perkarangan kedutaan Amerika di Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 24 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPP) hari ini menyerahkan memorandum bantahan ke Kedutaan Amerika berhubung tindakan tentera Amerika Syarikat yang membuang dan membakar al-Quran yang diambil dari perpustakaan penjara di Pangkalan Udara Afghanistan, Selasa lalu.

Memorandum tersebut diserahkan sendiri oleh Ketua DPPP, Nasrudin Hassan kepada pegawai keselamatan kedutaan dengan diiringi Ketua Penerangan DPPP, Ridhuan Md Noor dan Ketua DPP Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad.

Kira-kira 200 orang mengiringi serahan memorandum itu terdiri daripada pemuda dan pemudi termasuk Gerakan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis).

Mereka berarak dari Masjid Tabung Haji selepas menunaikan solat Jumaat menuju ke kedutaan AS  dengan dikawal kira-kira 50 anggota polis.

Laungan takbir, laknat Amerika, hidup Islam bergema sepanjang perarakan aman itu.

Berucap kepada peserta perarakan selepas serahan memorandum, Nasrudin berkata, antara isi kandungan memorandum itu ialah memberi amaran keras kepada Amerika agar tidak mengulangi tindakan jahat yang mencemarkan keharmonian antara agama itu.

"Kita berharap ini kali terakhir peristiwa ini berlaku dan jika tindakan mencemarkan kesucian al-Quran ini berulang, kita tidak teragak-agak melakukan demonstrasi besar-besaran," katanya disambut laungan takbir.

Perhimpunan tersebut berakhir kira-kira jam 3 petang dengan bacaan doa oleh Nasrudin dalam keadaan hujan lebat.

Pada 2010, Gereja Florida telah mencetuskan kemarahan umat Islam apabila merancang untuk membakar al-Quran pada ulang tahun kesembilan peristiwa 11 September di New York dan Washington.

Rancangan serupa, ujarnya diulang oleh Terry Jones Paderi Amerika Syarikat pada tahun lalu 2011 sempena ulang tahun peristiwa 11 September, malah pembakaran al-Quran telah dilakukan oleh Paderi Wayne Sapp di bawah pengawasan Jones.

Al-Quran pada waktu itu telah direndam dalam minyak tanah selama sejam dan diletakkan dalam dulang besi di tengah-tengah gereja sebelum ianya dibakar dengan pemetik api barbeku, al-Quran dibakar selama 10 minit dan gambar pembakarannya dirakam.

Harakah

No comments:

Post a Comment