Monday, February 27, 2012

PAS yakin isu Kedah selesai dengan aman


KUALA LUMPUR, 27 Feb: PAS yakin isu Kedah dapat diatasi secara harmoni melalui ukhuwah Islamiah dan musyawarah.

Dalam satu kenyataan awal pagi ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, melalui beberapa pertemuan dan perbincangan pimpinan, parti mendapati bahawa isu di Kedah yang dibangkitkan oleh beberapa pihak yang terlibat lebih menjurus kepada maklumat yang kurang jelas.

“Dan ada  jalan penyelesaian kepada kemelut yang berlaku. Sehubungan itu, ahli dan pimpinan di semua peringkat diseru mendapatkan maklumat dari saluran rasmi parti bagi mengetahui perkembangan yang berlaku,” nasihat beliau.

Menurut Tuan Ibrahim, pelbagai usaha sedang giat dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan parti secara keseluruhannya.

PAS, katanya yakin perkara ini dapat ditangani dengan baik, demi kepentingan parti, dan tambahan pula di saat seluruh jentera parti bertungkus lumus membuat persiapan bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

“Sehubungan itu, semua pihak mestilah bertindak dengan tepat, jangan kerana nila setitik rosak susu sebelangga. Ketepikan emosi, dan fikirlah dari sudut parti dan bukan sudut peribadi,” tambahnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Dalam cabaran media baru tanpa kawalan ini, penyebaran maklumat yang tidak sahih serta andaian peribadi tanpa asas jamaah yang kukuh, tidak membantu mengeratkan hubungan dan memperkasakan parti, hujah Tuan Ibrahim.

“Perbezaan pandangan tidak seharusnya merosakkan asas ikatan jamaah. Sebarang tindakan mestilah berada dalam ruang lingkup pemikiran jamaah,” nasihat beliau lagi.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub turut meminta semua ahli mendapatkan maklumat dari sumber parti yang sah tentang apa yang sedang berlaku di negeri itu.

Media, khasnya yang pro-BN melaporkan pelbagai berita tentang apa yang berlaku di Kedah sekarang termasuk melagakan pimpinan PAS.

Misalnya cara laporan NST dan Utusan melaporkan seolah-olah berlaku pertembungan antara kumpulan Erdogan dan ulamak di Kedah sekarang.

Media melaporkan, dua Exco Kedah tidak bersedia untuk dilantik semula menjadi Exco kerajaan negeri apabila majlis perlantikan dibuat pada 28 Februari ini.

Kumpulan NST pula diarahkan agar menjadikan berita Kedah ini sebagai berita utama termasuk berita muka depan.

Kedah melaksanakan dasar Exco kerajaan negeri akan dilantik setahun sekali di mana mereka akan mengangkat sumpah di depan Sultan Kedah.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata lapan ahli Exco Kerajaan Negeri akan mengangkat sumpah jawatan penggal 2012 di Istana Anak Bukit, Selasa ini manakala dua lagi dijangka berbuat demikian selepas tempoh semasa berakhir 7 Mac ini.

“Lapan yang akan dilantik itu bukan muka baru. Semua Exco tamat tempoh pada 7 Mac, sebab itu saya tidak boleh lantik sekaligus, perlu tunggu tamat tempoh bagi elak melanggari Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah,” katanya kepada media selepas mesyuarat ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), di Wisma PKNK, semalam.- Harakah

No comments:

Post a Comment