Saturday, January 29, 2011

PRK DUN Merlimau 6 Mac, Penamaan Calon 26 Feb


LABIS, 28 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau ialah pada 26 Feb depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 6 Mac.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka pada 21 Jan lepas berhubung kekosongan kerusi DUN Merlimau berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada hari sebelumnya (20 Jan).

"Berikutan dengannya, SPR telah mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada malam ini dan menetapkan bahawa satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Mohamad Hidhir, 54, meninggal dunia pada 19 Jan lepas akibat serangan jantung. Pada pilihan raya umum 2008, beliau menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Daftar Pemilih yang akan digunakan untuk pilihan raya kecil ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010 (bagi bahagian pilihan raya berkenaan) yang telah dikemas kini sehingga 20 Januari 2011.

Daftar Pemilih tersebut mengandungi 10,679 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 10,643 pemilih biasa dan 36 pemilih pos.

Abdul Aziz berkata bagi menjalankan pilihan raya kecil DUN Merlimau, SPR akan menggunakan Dewan Platinum Politeknik Merlimau, Melaka sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

"Sebanyak tujuh buah sekolah akan digunakan sebagai Pusat Mengundi yang mengandungi kesemuanya 21 Saluran Tempat Mengundi. Seramai 248 orang petugas pilihan raya akan dilantik untuk pengendalian proses pilihan raya ini dan dianggarkan memerlukan belanjawan sebanyak RM830,000," katanya.

Bernama

No comments:

Post a Comment