Sunday, January 23, 2011

Kelantan Cabar Pertukaran Kes Royalti




Kerajaan negeri Kelantan dilaporkan akan terus melawan bagi mendapatkan semula apa yang didakwanya adalah hak rakyat negeri itu daripada syarikat petroleum negara, Petronas. Pada 27 Januari ini, kerajaan Kelantan menyeru para blogger dan rakyat negeri itu agar turun ke Mahkamah Tinggi Perdagangan di ibu negara bagi membantah tindakan kerajaan persekutuan yang cuba masuk campur di dalam tuntutan tersebut.

Ini adalah kerana kerajaan pusat akan menfailkan ‘pencelahan’ di dalam kes tuntutan sivil oleh kerajaan negeri sebelum ini pada tahun lalu di Mahkamah Tinggi Perdagangan Kuala Lumpur.

Kerajaan pusat dijangka memohon keputusan Mahkamah Tinggi Perdagangan itu untuk memberi kebenaran kepada kerajaan pusat supaya menjadi defendan kedua di dalam kes tuntutan tersebut.

Sebelum ini pada 30 Ogos 2010, kerajaan PAS hanya membuat tuntutan kepada Petronas sebagai defendan pertama dan satu-satunya saja pihak defendan yang dinamakan oleh kerajaan negeri.

Petronas yang dilihat sebagai gentar untuk bertindak bersendirian dan memerlukan kuasa politik pusat bagi mempertahankan Petronas, menurut dakwaan Exco kanan kerajaan Kelantan, Datuk Musa Husam. Husam berkata demikian semasa menjawab soalan seorang blogger semasa program blogger bersama kerajaan negeri Kelantan hujung minggu lepas di ibu negara.

Kerajaan negeri sangat berasa kesal apabila kes berkenaan yang tiba-tiba diketahui telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sivil pada Selasa lepas tanpa ada pun permintaan daripada mana-mana pihak yang terbabit untuk perpindahan tersebut sama ada dari pihak kerajaan negeri ataupun Petronas.

Maklumat dalaman memberitahu KL-Today.com bahawa kerajaan negeri akan membuat bantahan bagi meminta kes berkenaan dibawa kembali dibicarakan di bawah mahkamah tinggi bahagian perdagangan di dalam tarikh perbicaraan akan datang.

Kerajaan negeri hairan keputusan yang diambil bagi menukar bentuk pengadilan itu bukannya berbentuk keputusan hakim tetapi dilakukan oleh orang dalaman kehakiman yang bersifat lebih kepada keputusan pentadbiran.

Menurut peguam kerajaan negeri, Tommy Thomas, perpindahan kes berkenaan itu tidak pula menyebut nama hakim yang baru ataupun penetapan tarikh baru. Beliau menegaskan hak perlembagaan kepada plaintif (kerajaan negeri) untuk memilih mahkamah yang mana yang diingini untuk menfailkan tuntutan.

Sekiranya dahulu kerajaan negeri memilih menggunakan mahkamah tinggi sivil, mereka tidak perlu membawanya sehingga ke Kuala Lumpur. Ini kerana kes ini boleh sahaja dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Mahkamah Tinggi Perdagangan hanya terdapat di Kuala Lumpur sahaja.

Thomas turut memaklumkan sekiranya Petronas sebagai defendan mahu menukar kes itu ke tempat lain, mereka perlu meminta kebenaran melalui keputusan hakim di Mahkamah Tinggi dan pada masa yang sama memaklumkan langkah berkenaan kepada pihak plaintif.

Sehingga hari ini, dari maklumat dalaman, Petronas dikatakan tidak mengetahui apa yang berlaku yang menyebabkan kes itu bertukar lokasi kehakiman.

Hari Isnin ini, permohonan mencelah kes ini oleh kerajaan BN akan didengar di hadapan hakim Nalini Pathmanaban nanti selepas hakim sebelum ini dilaporkan telah ditukarkan ke Pulau Pinang.

Kerajaan negeri menuntut Petronas untuk membayar lima peratus royalti untuk hasil petroleum yang dilombong dari kawasan luar persisir berhampiran Kelantan berdasarkan perjanjian di dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah semalam memaklumkan akan terus bersama-sama dengan kerajaan Kelantan untuk menuntut hak berkenaan dengan menyifatkan itu sebagai milik sah rakyat negeri itu.

Tindakan kerajaan pusat sebelum ini pernah dilakukan ke atas kerajaan negeri Terengganu semasa diperintah PAS pada tahun 1999 apabila Tun Mahathir menghentikan pembayaran royalti minyak kepada kerajaan PAS.

Pembayaran tersebut hanya disambung semula selepas BN kembali berkuasa di Terengganu pada tahun 2004. /Pencacai SeMalaysia 


Dipetik: Selatanonline.net

No comments:

Post a Comment