Saturday, November 20, 2010

HUTAN LIPUR CEMERONG

Aku sering mendengar rakan-rakan ku bercerita tentang keindahan panorama di Hutan Lipur Cemerong.  Tercuit juga di hati ku untuk melihat keindahan ciptaan Allah ini, disamping menyedut udara segar dan nyaman di persekitaran pergunungan.  Aku menerima panggilan talifon dari rakan ku, Faisal, mengajak ku bersiar-siar.  Tanpa bertanya ke mana, aku menerima ajakkannya.  Seperti biasa aku akan ditemani oleh isteri ku.  Kami bersarapan ditempat yang dijanjikan.  Faisal mengajak ku ke Hulu Dungun.  Aku meneruskan sarapan ku tanpa memberi sebarang komen.

 Kami meneruskan perjalan, setelah selesai sarapan.  Seperti biasa, kami akan berbual melaui radio yang dipasang di dalam kereta kami.  Rupanya Faisal menyatakan hendak ke Cemerong  dan kampung di persekitaran Hulu Dungun.  Hati ku melonjak riang, menerima berita tersebut.  Terbayang di kepala ku kesejukan air yang jernih di gunung tersebut.  Betapa nyamanya.
Sepanjang perjalanan, setelah keluar dari Bandaraya Kuala Terengganu, kami melalui kawasan perkampungan.  Teringin di hati ini untuk berada di kampung.  Pemandangan ini mengimbau kembali kenangan ku di masa kana-kanak.  Aku di lahir dan dibesarkan di kampung.  Kehidupan di kampung menjadi sebahagian dari hidup ku.   Perjalanan kami mengambil masa kurang lebih satu jam setengah untuk sampai ke destinasi.
Keadaan di persekitaran bagitu aman dan tenteram.  Hawa  sejuk pergunungan menjamah diri ku.  Aku dapat  merasakan betapa segarnya  udara di sini.  Suara unggas-unggas  yang mendiami kawasan ini menyambut ketibaan kami.  Suasana bagitu sunyi, hanya kedengaran siulan burung-burang dan unggas yang lain yang diiringi bunyi desiran air terjun di Cemerong ini.

Ini adalah diantara kemudahan yang disediakan untuk para pengunjung yang datang.  Disini tidak ada kemudahan penginapan, cuma yang ada, tapak untuk aktiviti perkhemahan.  Kantin yang ada hanya beroperasi pada hari minggu sahaja.  Kunjungan kami adalah pada hari biasa, jadi kami tidak dapat mencuba keenakan masakan di sini.


Ini adalah diantara tumbuhan hiasan yang ditanam.  Setelah berehat seketika, untuk melepaskan penat memandu, kami mula berjalan-jalan di persekitaran kawasan ini sambil menyedut udara yang nyaman dan menyegarkan ini.  
Terdapat berbagi-bagai jenis tumbuhan hiasan yang ditanam di kawasan tempat letak kereta dan kantin.  Ianya amat menarik sekali.  Kawasan ini dikelilingi oleh hutan tropika yang menghijau.  Keadaan ini memukau para pengunjung yang mencintai kedamaian dan keindahan alam semula jadi.


Ini pula pemandangan sungai yang mengalir dengan tenang dan dihiasi pula oleh air terjun yang kecil dan membentuk kolam-kolam kecil yang sangat sesuai untuk mandi manda.  Airnya bagitu jernih dan sejuk.  Kelihatn anak-anak ikan berenang-renang  sambil berkejar-kejaran di celah-celah batu yang menghiasi permukaan sungai ini.  Pohon-pohon hutan yang menghijau tumbuh di sepanjang tebing sungai ini.  Ianya sunguh indah dan menarik.  Betapa besarnya nikmat anugerah Allah ini bagi insan-insan yang mahu berfikir.

Ini adalah  tempat yang dibina khas untuk para pengunjung melihat pemandangan di persekitaran jeram ini.  Kelihatan pohon-pohon kayu hutan yang terdiri dari berbagai jenis tumbuh menghijau di sekeliling pondok ini.  

Ini adalah di antara pohon-pohon hutan yang terdapat  di pergunungan ini.  Tinggi menjulang langit  dan pucuknya pula menyapa angin yang lalu.  Ini adalah di antara khazanah yang tidak ternilai untuk generasi kita.  Apakah ianya dapat dikekalkan ?  Soalan ini tak dapat ku jawab,  hanya Allah jua yang Maha Mengetahui.  Apakah atas nama pembangunan,  keindahan ini jua akan lenyap sebagaimana tempat-tempat yang lain ?   Soalan ini berligar-ligar di kepala ku.  Jawapannya tidak ku temui.  



Lihatlah betapa indah pemandangan ini.  Dibawah bumbung langit yang biru, menjulang pohon ini menyapu awan.  Berdiri tegak dengan perdunya terpasak kemas dibumi  melalui hari-hari yang mendatang.  Bagitulah jua kita manusia, hari-hari yang kita lalui ini menghapirkan kita dengan masa untuk kita kembali menemuiNya.
 Laluan berturap dengan simen disediakan untuk kemudahan para pengunjung yang ingin berehat bersama keluarga di hujung minggu.  Para pengunjung dapatlah bergerak kesana sini dengan senang, terutama untuk kanak-kanak kecil.  Walau apa pun keselamatan perlulah di utamakan kerana kawasan ini mempunyai kepala air.
Setelah puas kami berjalan-jalan di persekitaran kawasan perkelahan Cemerong ini, kami berehat untuk makan tengah hari.  Kami memilih lokasi yang berhampiran dengan tapak perkemahan, dimana terdapat sebatang tali air.  Airnya jernih dan sejuk.  Kelihatan isteri ku bagitu asyik memerhati anak-anak ikan yang berenang-renang kesana dan kemari.  Selesai menjamah makanan tengah hari yang kami bungkus semasa dalam perjalan kesini dan setelah berehat sebentar, kami meneruskan perjalanan kami ke Pasir Raja. 

No comments:

Post a Comment