Wednesday, October 20, 2010

SE PETANG DI PULAU WAN MAN

Bila disebut sahaja Pulau Wan Man, semua orang tahu, di sana terletaknya Masjid Kristal yang menjadi kebanggaan Negeri Terengganu.  Kebetulan, satu petang, aku dikunjungi oleh dua keluarga, ia itu teman ku dari Negeri Kedah dan mengajak ku ke Pulau Wan Man.  Mereka dalam perjalanan pulang setelah selesai tugasan mereka di Kuala Terengganu.  Jam ketika itu sudah pun menunjukan 5.00 petang.  Aku menyambut mereka dengan penuh gembira.  Selesai minum petang, aku dan isteri ku, membawa mereka ke Pulau Wan Man.
Semua yang melawat Negeri Terengganu, tidak akan melepaskan peluang untuk melawat Pulau Wan Man.  Aku membawa teman-teman ku ke tempat letak kereta.  Kami berjalan perlahan-lahan, sambil menikmati pemandangan yang indah di sekitar Pulau Wan Man, menuju Masjid Kristal.

Kita dapat melihat kedudukan Masjid yang terletak di atas permukaan air.  Memanglah cantik.  Isteri ku sempat bergambar dengan teman dari Kedah, ia itu, Sdr. Khalid,memakai tudung berwarna hitam adalah isteri beliau.  Sementara yang bertudung puteh disebelah kiri adalah isteri ku dan di tengah pula adalah isteri Pak Lah berserta anak-anaknya. 
Berbaju melayu dan berkupiah putih adalah Pak Lah.  Aku pun tumpang juga bergambar.  Sudah dua tiga kali aku datang ke Pulau Wan Man, hanya inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ku di kawasan Masjid Kristal.  Bila selesai sahaja tugasan ku, aku terus sahaja pulang.


Dari Masjid Kristal, kita akan dapat melihat pemandangan menarik.  Tumbuhan yang menghijau di seberang membuat kita merasa aman dan selesa.  Inilah dia anugerah Allah Yang Maha Esa kepada hamba-hambaNya.  Sejauh mana kita telah mensyukuri akan anugerah dan nikmat ini, terserahlah kepada penilaian diri sendiri.  Marilah kita sama-sama berdoa agar kita ini digolongkan bersama-sama hamba-hamba yang mensyukuri akan anugerah dan nikmat yang telah diberi Allah.


Baguslah, dengan kunjungan ke dua-dua rakan dan keluarga mereka ini, aku dan isteri ku, diizinkan Allah untuk menzairahi rumahNya di Pulau Wan Man ini.  Memang kita tidak pernah dapat menduga apa yang bakal terjadi, kerana semuanya adalah diluar pengetahuan kita, cuma Allah sahaja Yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.


Ini adalah pemandangan pintu masuk Masjid Kristal.  Kami tidak dapat melawat bahagian-bahagian lain di Pulau Wan Man kerana waktu Maghrib sudah merangkak tiba.  Teman ku berserta keluarga akan berlepas pulang selepas solat maghrib.  Kami bersalam-salaman, tanda perpisahan sudah tiba.  Bilakah masa akan dipertemukan semula tiada siapa yang tahu.  Aku mengucapkan selamat jalan sambil melemparkan sebuah senyum serta diiringi doa agar mereka selamat sampai ke kampung halaman.









No comments:

Post a Comment