Friday, July 22, 2011

Syiah Kedah saman Pegawai Agama Kota Setar


Tindakan seorang Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Alaudin bin Dato Bakar memfitnah mazhab Syiah mengundang padah apabila komuniti Syiah di Kedah memfailkan saman terhadap beliau.


Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Tindakan seorang Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Alaudin bin Dato Bakar memfitnah mazhab Syiah mengundang padah apabila komuniti Syiah di Kedah memfailkan saman terhadap beliau.

Sekumpulan pengikut mazhab Syiah Imamiyah yang diketuai oleh Ustaz Abdullah Hasan dari pusat pengajian mereka, Husainiyah Az-Zahra tampil di Mahkamah Tinggi pada pukul 10 pagi tadi. Mereka diwakili peguambela Aqbal dan N.M. Amin.

Kes ini didaftarkan Mahkamah Tinggi Malaya di Alor Setar sebagai saman pertama pada tahun ini di mahkamah tersebut.

Alaudin dikatakan membuat fitnah ke atas mazhab Syiah Imamiyah pada 19 Januari dan 2 Februari 2011 di Masjid Al-Ghufan, Akar Peluru Alor Setar. Manakala pada 6 Februari 2011 di Masjid Jami’ul Sahab Kepala batas.

Antara fitnah Alaudin ialah:

1. Menuduh pengikut mazhab Syiah memasukkan riwayat palsu di dalam kitab-kitab Ahlusunnah.
2. Mengutip riwayat dari kitab Syiah tanpa saringan ilmu Hadis agar mazhab ini diperolok-olokkan.
3. Mendakwa amalan sujud di atas tanah dalam Fikah Syiah sebagai sesat dan mendakwa kononnya hanya tanah Karbala sahaja yang suci.
4. Menuduh golongan Syiah sebagai penjahat.
5. Menuduh kitab Al-Kafi mengandungi lebih 16 ribu hadis yang dipalsukan oleh Syiah.
6. Menamakan kitab Biharul Anwar sebagai ‘lautan kegelapan’.
7. Mengatakan Syiah menjadi ancaman kepada negara.
8. Menuduh Ustaz Abdullah menyampaikan ajaran sesat kepada orang kampong.
9. Menuduh Syiah mencipta ayat-ayat al-Quran yang dinamakan surah As-Syam.
10. Dengan sengaja menyatakan pengharaman nikah Mut’ah menurut Ahlusunnah tanpa menyatakan Wajhul Istidlal penghalalannya menurut Syiah supaya mengelirukan orang ramai.
11. Menghukum Ustaz Abdullah sebagai ahli neraka

Alaudin juga dikatakan turut mengugut untuk menangkap Ustaz Abdullah dengan memperalatkan kuasa yang ada padanya. Merasakan mazhab Syiah diancam dengan fitnah, kumpulan pengikut mazhab Syiah ini tetap akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pegawai agama tersebut.
 
 
 

1 comment: