Wednesday, July 13, 2011

Imej Malaysia tercemar kerana tindakan melampau terhadap Bersih 2.0


KUALA LUMPUR, 13 JULAI – Tindakan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia mengharamkan pemakaian t-shirt Bersih, baju kuning dan bahan cetak berkaitan dengan Bersih telah menjadikan kerajaan Barisan Nasional sebagai bahan jenaka seluruh dunia.

Untuk memulihkan semula imej negara yang sudah tercalar itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Teresa Kok menggesa pengharaman berkenaan perlu ditarik balik.

Beliau turut mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan PDRM supaya meminta maaf kepada seluruh warga Malaysia atas keganasan dan tindakan melampau terhadap rakyat yang menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0 pada Sabtu lalu.

“Pada perhimpunan Bersih 2.0, PDRM telah menyerang orang yang berhimpun secara aman dengan gas pemedih mata dan meriam air, dan menangkap 1,667 orang di pusat bandar Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum perhimpunan itu diadakan, polis PDRM telah menahan 198 orang dan menyoal-siasat 25 lagi, kebanyakannya pemimpin Bersih, Pakatan Rakyat dan beberapa NGO.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata perhimpunan Bersih 2.0 telah berakhir dengan aman, damai dan tiada sebarang kerosakan harta benda seperti yang diwarwarkan oleh pihak berkuasa dan para pemimpin UMNO dan BN sebelum ini.

“Sebaliknya, golongan yang mencederakan peserta perhimpunan adalah anggota PDRM sendiri,” tambahnya. Teresa yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor turut mendesak pihak bekruasa membebaskan serta-merta enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia yang ditahan di bawah Ordinan Darurat 1969.

“Tiba masanya bagi kerajaan BN untuk menghormati hak asasi manusia, termasuk memberi hak kepada rakyat Malaysia untuk mengadakan perhimpunan secara aman seperti apa yang dipraktikkan di banyak negara di dunia ini,” katanya.

Semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk kerajaan Malaysia pimpinan UMNO-BN kerana menggunakan kekerasan dan bertindak melampau terhadap rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0.

Menurut Pelapor Khas PBB mengenai hak kebebasan bersuara dan berekspresi Frank La Rue, kerajaan Malaysia telah memperlekehkan demokrasi apabila mengharamkan perhimpunan aman, menutup jalan-jalan masuk ke ibu negara dan bertindak keras terhadap peserta perhimpunan aman.

“Mengisytiharkan Bersih sebagai haram berasaskan dakwaan kononnya ia cuba menjatuhkan kerajaan atau ia adalah ancaman kepada keselamatan negara dan awam – dengan tiada sebarang bukti kukuh – juga menjadi satu sekatan kepada hak rakyat dan hak politik,” katanya.

Pengerusi Pelapor PBB bagi kumpulan kerja mengenai penahanan secara sewenang-wenang, El Hadji Malick Sow, pula melahirkan kebimbangan terhadap penahanan enam individu (pemimpin dan ahli PSM) sejak 25 Jun lalu di bawah Ordinan Darurat yang membenarkan penahanan tanpa bicara sehingga 60 hari.

Kumpulan kerja PBB itu juga mengulangi saranannya kepada kerajaan Malaysia yang dbuat sewaktu lawatan ke negara ini pada Jun 2010 supaya memansuhkan Ordinan Darurat dan undang-undang yang sama dengannya seperti ISA, atas dasar ia menyekat hak asasi manusia seperti hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Kedua-dua pakar hak asasi PBB itu turut mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa sebagai anggota Majlis Hak Asasi PBB, kerajaan Malaysia telah berikrar untuk menegakkan usaha menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment