Pendahuluan
Makhluk manusia adalah sebahagian dari alam ciptaan Allah yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir urus muka bumi ini supaya setiap komponan alam samada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, sungai, tasik, laut, bukit bukau dan sebagainya mampu wujud secara harmoni dan saling memanfaatkan. Sebagai khalifah, manusia tidak boleh bertindak terlalu mementingkan diri sendiri hingga sanggup menggadaikan kepentingan makhluk-makhluk dan penghuni alam yang lain
Di tangan manusialah terletaknya kemakmuran bumi ini. Dengan kelebihan-kelebihan yang Allah berikan, terutama sekali kelebihan akal fikiran dan kecerdikan, kita dipertanggungjawabkan untuk menguruskan bumi dan kehidupan penghuni-penghuninya, lebih-lebih lagi dengan kuasa pemerintahan yang ada. Apabila tanggungjawab ini dicuaikan, pastinya bumi ini akan terdedah kepada kerosakkan serta kehancuran dan kehidupan penghuni-penghuninya juga akan menjadi huru-hara. Sebagaimana amaran Allah S.W.T di dalam surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:
“Telah zahir kerosakan di darat dan di laut dengan sebab perbuatan tangan-tangan manusia, sehingga Allah merasakan kepada mereka sebahagian akibat dari apa yang mereka kerjakan, semoga mereka kembali ke jalan yang benar.”
Pembangunan hebat BN
Janji kerajaan BN selepas mengambil alih pemerintahan Terengganu dari PAS pasca Pilihan Raya Umum 2004 adalah untuk menghidangkan kepada rakyat ‘pembangunan yang tak pernah dilihat oleh mata dan tak pernah didengar oleh telinga’. Begitulah hebatnya slogan mereka seolah-olah muka bumi Terengganu akan bertukar wajah menjadi bayangan permukaan sebuah planet lain.
Walaupun Kerajaan Terengganu memiliki wang berbillion untuk pembangunan, memiliki deretan kroni yang perlu diagihkan projek dan diberi makan tetapi barang perlu diingat bahawa kawasan hutan tebal yang masih menyimpan khazanah kayu-kayan bernilai tinggi bukan milik kita seorang, kawasan paya yang ditimbus dan ditebus guna bukanlah hak mutlak pemaju, pesisir pantai yang indah adalah milik semua rakyat, sungai yang bersih dan mengalir tenang adalah sumber rezeki sebahagian rakyat. Begitu juga kawasan tasik dengan keindahan alam semulajadinya merupakan khazanah negeri, bukan setakat milik generasi kita, tetapi juga untuk tatapan dan dinikmati oleh generasi selepas kita.
EIA untuk kroni
Tanpa kajian teliti impak alam sekitar terhadap perlaksanaan sesuatu projek, fenomena alam semulajadi tentunya tidak akan bersimpati dengan kita.
Ilmu tentang hakisan, runtuhan tanah, pencemaran sungai, kesan penebangan berleluasa hutan, ombak laut, arus laut, pasang surut air, arah tiupan angin, habitat semulajadi hidupan liar dan sebagainya, semuanya telah ada. Ianya wajib diberikan perhatian ketika penilaian impak alam sekitar (Environmentally Impact Assessment) sebelum perlaksanaan sesuatu projek atau kerja dilakukan. Kecuaian diperingkat awal selalunya terpaksa dibayar dengan harga yang sangat mahal di samping impak negatif yang memberi kesan kepada sejumlah besar penduduk dan alam sekitar.
Kita sedia memaklumi bahawa EIA (Environment Impact Assessment) malah DEIA (Detailed Environment Impact Assessment) adalah suatu kemestian sebelum kelulusan sesuatu kerja diberikan tetapi melihat kepada rekod buruk kerajaan pimpinan MB Ahmad Said berkaitan isu alam sekitar, ianya mampu menimbulkan persoalan, apakah EIA atau DEIA untuk sesetengah projek hanyalah sekadar
formality dan dilakukan secara sambil lewa sebagai dokumen syarat untuk kelulusan semata-mata? Apa yang penting, bila ada wang semua kerja boleh jalan!
Hakisan pantai tak berkesudahan
Sekadar mengenengahkan beberapa isu kemusnahan alam sekitar, antaranya hakisan pantai yang berlaku dari Besut hingga ke Kemaman dan tiada berkesudahan malah semakin parah di beberapa lokasi seperti Pantai Tok Jembal. Sungguh menyedihkan apabila memerhatikan apa yang menimpa persisiran Pantai Tok Jembal contohnya, sehingga keindahan semulajadinya sebagai pantai pelancongan dan lokasi pendaratan bot-bot nelayan pesisir pantai semakin hilang ditelan rakusnya ombak Laut Cina Selatan.
Fenomena ini akan lebih menjadi igauan kepada penduduk sekitar terutamanya menjelang musim tengkujuh. Tentunya tindakan menyalahkan takdir dan fenomena alam semulajadi atas apa yang berlaku adalah sekadar tindakan untuk lepas tangan semata.
Walaupun pihak berwajib yang berkelayakan tidak pernah mengeluarkan suatu kenyataan rasmi akan punca dan penyebab hakisan yang berlaku, pemerhatian penduduk setempat mengesyaki dan meyakini bahawa puncanya adalah penambakan laut bagi projek pemanjangan landasan terbang, Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), lantara hakisan ini yang memanjang kira-kira 1 km bermula dari kawasan berhampiran lapangan terbang sehingga ke pesisiran pantai berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dikesan mulai merebak beberapa bulan setelah projek pemanjangan landasan terbang disiapkan.
Kontraktor projek tentunya telah mengaut puluhan juta ringgit keuntungan. Orang-orang tertentu juga tentunya telah menerima komisyen masing-masing. Boeing 747 pun sudah boleh mendarat di LTSM sebagaimana yang diimpikan oleh sebahagian pemimpin negeri walaupun pendaratan pesawat untuk penerbangan antarabangsa ini cuma berlaku ketika musim haji dan musim pertandingan kuda. Hari-hari biasa, penerbangan komersial ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa jauh mengatasi bilangan penerbangan ke sini walaupun LTSIP bukanlah sebuah lapangan terbang antarabangsa.
Soalnya sekarang, siapa yang sepatutnya mengambil tanggungjawab menangani hakisan dan kemusnahan yang berlaku? Apakah telah ada suatu kajian teliti akan sebab dan musababnya? Kalau telah ada, rakyat berhak untuk mengetahuinya. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri pada 28 Februari 2011 lalu pernah menjanjikan suatu kajian untuk mengenalpasti puncanya akan dilakukan, tetapi akhirnya senyap tanpa khabar berita.
Hutan Gelam dan tanah lembah Nyatoh
Hutan Gelam Air Tawar adalah habitat bagi pelbagai spesis hidupan liar terancam untuk tinggal dan membiak. Aktiviti pembersihan hutan paya gelam dan pembinaan prasarana Ladang Akuakultur Ternakan Udang Bersepadu (i-SHARP) oleh pemaju Blue Archipelago Berhad yang bernilai RM290 juta telah mewujudkan pertarungan merebut kepentingan antara alam dan manusia yang tidak akan berakhir dengan situasi menang-menang. Yang kuat akan menang. Yang lemah telah dan akan menjadi korban. Kawasan hutan paya gelam Nyatoh adalah tanah milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu dan telah diwartakan sebagai ‘kawasan sensitif alam sekitar’ di mana sebarang bentuk pembangunan adalah tidak dibenarkan sebagaimana yang digariskan oleh Rancangan Tempatan Daerah Setiu (RTDS) kecuali untuk aktiviti rekreasi.
Demi sebuah projek i-SHARP yang belum tentu untung ruginya, Kerajaan BN Terengganu telah menganugerahkan kawasan ini dengan taraf pajakan selama 30 tahun kepada pemaju. Persolan besar yang timbul, bukankah RTDS adalah rancangan pembangunan Kerajaan BN dan akhirnya dicabul oleh pemimpin BN sendiri!
Rakyat tidak berminat lagi untuk mendengar teori-teori kosong pemaju yang disokong Ahmad Said sebagai jurucakap tak rasmi, kononnya inilah ‘green projek’, ‘enviromentally friendly’, menyediakan peluang pekerjaan, tanah rakyat telah dibayar pampasan setimpal, projek akan menjadi pemacu ekonomi dan pelbagai lagi ungkapan yang semakin kabur realitinya.
Di samping kemusnahan habitat hidupan liar dan kawasan pembiakan ikan, mohon juga kerajaan memberikan penjelasan bagaimana 3 kali gelombang banjir luar biasa yang telah melanda sekitar Dun Permaisuri pada musim tengkujuh lalu boleh berlaku?
Walaupun pihak Kerajaan Negeri kelihatan cuba memejamkan mata akan hakikat yang berlaku, tetapi bangkai gajah tidak lagi mampu ditutup dengan daun lalang. Ibarat sudah terang lagi bersuluh kejadian banjir luar biasa ini memang berpunca dari kerja-kerja projek i-SHARP ini!
Kita telah membangkitkan ketika peringkat awal perlaksanaan projek dahulu bahawa kawasan yang dibangunkan itu adalah kawasan paya bertanah rendah yang terdedah kepada kesan pasang surut Sungai Setiu dan dilimpahi air ketika musim banjir.
Dari segi ekosistem, kawasan paya bertanah rendah dikategorikan sebagai kawasan takungan air. Lantas, untuk mengelakkan kawasan projek bernilai ratusan juta ringgit ini ditenggelami air banjir, kerja-kerja tebus guna tanah telah dan sedang dilakukan supaya kolam udang berada di aras yang lebih tinggi dari air banjir. Keadaan ini akan menyebabkan aliran air itu beralih ke kawasan yang lebih rendah di sekitar tapak projek dan ini akan menyebabkan air membanjiri kawasan penempatan penduduk sekitar. Tambakan tanah juga akan menghalang pengaliran air banjir ke Sungai Setiu.
Bagaimana hutan simpan kekal boleh dicerobohi
Hutan simpan dicerobohi, khazanah kayu-kayan dibawa pergi, kerajaan seolah-olah tak bergigi. Inilah ibarat yang paling sesuai untuk kita mengambarkan nasib malang yang menimpa Hutan Simpan Kekal Gunung Tebu di mana aktiviti pembalakan haramnya diakui sendiri berlaku oleh Ahmad Said tetapi pelakunya bagaikan kebal dari sebarang tindakan undang-undang. Nasib yang sama menimpa Hutan Simpan Bukit Bauk, Hutan Simpan Tembat dan Hutan Simpan Petuang.
Sudahlah balak dikeluarkan secara menyalahi undang-undang, aktiviti pembalakan pastinya akan menyebabkan kemusnahan habitat semula jadi bagi flora dan fauna. Kemusnahan hutan bererti kehilangan khazanah flora dan fauna yang sangat berharga.
Di samping syarikat pembalakan berkenaan yang mengaut keuntungan lumayan serta puak-puak berkepentingan yang turut menikmati tempiasnya, jangan dilupa bahawa penerokaan hutan secara tak terkawal menyebabkan tanah yang dilindungi terdedah kepada pelbagai bencana alam, berpunca daripada hutan yang tidak lagi dapat berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan. Hujan lebat yang melanda sesuatu kawasan akan mengakibatkan air yang turun terus menghakis permukaan bumi yang gondol, lalu membawa hakisan tanah-tanah ini ke dalam sungai. Tanah runtuh adalah antara akibatnya disebabkan kerana ketiadaan akar tumbuhan yang mencengkam tanah, terutamanya tebing atau tanah tinggi. Ceteknya Sungai akibat pemendakan tanah lumpur di dasarnya boleh mengundang banjir melanda.
Kesimpulan
Tindakan Kerajaan BN Terengganu yang mudah memperjudikan kemusnahan alam sekitar disebalik gahnya pembangunan dan banyaknya hasil dari khazanah bumi yang dikaut bererti dengan sengaja manusia telah mencipta konflik dengan alam semulajadi. Siapa pun yang akan menjadi pemenangnya bukanlah persoalan tetapi apabila fenomena alam semulajadi bertindak tanpa disangka, sehebat mana manusia yang berkuasa sekalipun tak akan mampu menentangnya. Jangan sampai generasi yang terkemudian menyalahkan kerakusan kita sehingga mereka terpaksa menanggung akibatnya.
Penulis ialah Pengerusi Lujnah Alam Sekitar dan Pengguna PAS Terengganu.
Sumber: Harakahdaily