Friday, December 9, 2011

Jika Pakatan memerintah, MELAYU ISLAM tetap jadi teras!

KUALA TERENGGANU, 8 Dis: PAS memberi jaminan bahawa teras politik negara tetap dipegang oleh Melayu Islam jika Pakatan Rakyat menggantikan Barisan Nasional (BN).


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, semua pihak di Malaysia hari ini menyedari hakikat bahawa teras kepada politik negara adalah Melayu Islam.

Katanya, semua kaum dan semua parti sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang menyedari keadaan tersebut.

Menurutnya, mana-mana parti yang menguasai politik Melayu Islam akan menjadi teras kepada politik negara ini.

“Kita perlu menyedari bahawa semua kaum di Malaysia, semua parti di Malaysia sama ada kerajaan atau pembangkang, sama ada Umno, PAS, MCA, MIC, Gerakan, DAP dan lain-lain.

“Mereka (rakyat) menerima hakikat bahawa teras kepada politik negara ini ialah Melayu Islam. Sesiapa yang menguasai politik Melayu Islam maka, dia menguasai teras politik negara,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang ketika membahaskan Belanjawan (Bajet) 2012 pada Mesyuarat Yang Ketiga Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-12, di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurutnya, jika berlaku pertembungan dalam pilihan raya antara PAS dengan Umno kerusi Melayu tidak terjejas atau hilang.

Malah, katanya kuasa politik Melayu Islam menjadi semakin kuat dan kukuh apabila PAS menggantikan kerusi Umno dan BN tersebut.

“Umno hari ini ada 78 kerusi seluruh negara. PAS 23 kerusi dan PKR ada 18 kerusi Melayu. Sekiranya, PAS dapat 40 kerusi lagi menjadikan PAS 63 kerusi, Umno jadi menurun jumlah kerusinya.

“Dalam keadaan ini teras kuasa politik masih dikuasai oleh orang Melayu Islam. Siapa yang menguasai teras politik, dialah yang menguasai politik negara.

“Malangnya, orang Melayu diperbodohkan termasuk di Terengganu dan disebarkan jika Umno kalah DAP yang memerintah Terengganu, sedangkan DAP satu kerusi pun tidak bertanding di Terengganu. Kita memperbodohkan orang kita sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, andaian DAP yang akan menguasai politik negara jika Umno kalah dalam pilihan raya adalah tidak benar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan kawasan-kawasan yang dikuasai orang bukan Islam secara majoritinya ialah 40 kerusi dari 220 kerusi.

Tetapi malangnya, kata Ustaz Abdul Hadi apabila MCA, MIC dan Gerakan kalah di kawasan majoriti bukan Melayu, maka diambil kerusi-kerusi yang majoriti Melayu campuran untuk diberi kepada MCA, MIC dan Gerakan.

Menurutnya, strategi politik Umno tersebut silap kerana secara tidak langsung boleh mengurangkan kerusi Melayu walau pun BN masih majoriti.

“Kerusi bukan Islam secara majoriti sekitar 40 kerusi dari 220 kerusi di Parlimen. Apabila MCA, MIC dan Gerakan kalah di kawasan mereka (bukan Melayu).

“Umno telah mengambil kerusi-kerusi yang majoriti campuran Melayu untuk diberi kepada MCA, MIC dan Gerakan.

“Ini boleh mengurangkan kerusi Melayu sendiri. Ini satu kesilapan strategi politik dari Umno sendiri walau pun BN masih majoriti,” ujarnya.

Katanya, kerjasama Umno dengan MCA, MIC dan Gerakan adalah kerjasama wala’ yang boleh menggadai prinsip serta perhitungan halal dan haram.

Sumber: Kedah La

No comments:

Post a Comment