Wednesday, May 30, 2012

"Skandal Forex Bank Negara Dikaji Semula"

Berikutan kejayaan forum kami berkenaan isu Pelabuhan Klang Free Zone (PKFZ), Penang Institute telah memutuskan untuk mengkaji semula sebuah skandal kewangan utama yang telah menghantui negara kita sejak dekad sembilan puluhan. Pada tahun 1992, Bank Negara Malaysia telah menceburi perdagangan matawang asing yang agresif dan akhirnya mencatatkan kerugian berjumlah RM30 bilion dalam spekulasi (pertukaran mata wang asing) atau forex. 
Walaupun menerima tekanan daripada kumpulan-kumpulan masyarakat sivil dan parti-parti pembangkang yang menuntut kebertanggungjawaban, kerajaan telah memperlekehkan skandal itu sebagai "kerugian atas kertas" semata-mata yang membabitkan "keuntungan yang dibuat dalam urusan tukaran mata wang asing pada tahun-tahun sebelumnya". Setelah hampir 20 tahun, masih tidak ada penjelasan kepada pihak awam, tiada kebertanggungjawab serta tidak ada tindakan tegas yang diambil ke atas kerugian besar yang dialami oleh Bank Negara hasil penglibatan kontroversi di dalam spekulasi forex. 

Kerajaan pula terus membisu dan panggilan untuk pembentukan suruhanjaya siasatan diraja juga dipandang sepi. Bukan sahaja kerugian yang diambil kira, tetapi cara di mana Bank Negara, sebuah institusi yang diamanahkan untuk memastikan kestabilan kedudukan kewangan negara, memperjudikan berbilion-bilion ringgit wang pembayar cukai jelas telah menguburkan kredibilitinya. 
Oleh itu, Penang Institute akan menganjurkan forum bertajuk, "Skandal Forex Bank Negara – Apabila Kerajaan Menjadi Spekulator" dalam usaha untuk mencungkil kebenaran, mendidik orang ramai serta mengetengahkan peripenting integriti, kebertanggungjawaban dan ketelusan, khususnya apabila berkait dengan soal pengurusan wang awam. 
Forum ini akan menampilkan Ketua Pembangkang YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan yang lebih penting, Menteri Kewangan pada masa berlakunya skandal ini. Turut berucap adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng. Kami juga telah menghantar jemputan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang memainkan peranan penting di sebalik tabir di Bank Negara pada masa itu. 
Adalah diharapkan bahawa beliau akan menerima undangan kami dalam semangat demokrasi. 
Forum ini akan diadakan pada 2 Jun 2012, 2.30 petang (Pendaftaran jam 2.00 petang) di Dewan Sri Pinang, Padang Kota Lama, George Town dan terbuka kepada awam dan media. 
Bagi yang berminat, sila hubungi Cik Ivy Kwek (ivykwek@penanginstitute.org, 016-7701187) untuk mendaftar. Bagi pihak Penang Institute, SYED MIKAEL RIZAL AIDID Eksekutif Komunikasi & Program Penang Institute
 

No comments:

Post a Comment