Friday, March 2, 2012

Tunggu masa untuk rebah

Wartawan Sinar Harian
1 Mac 2012
tunggu masa untuk rebah
PONTIAN - Tidur lena sebuah keluarga di Kampung Seri Tanjung, Benut dekat sini sering kali terganggu dengan kejadian air pasang sehingga menjejaskan rumah mereka yang terletak di muara Sungai Benut.

Selain itu, rumah kayu yang menjadi tempat berteduh pasangan Fatimah Arny, 41 dan Mustapha Othman, 48 bersama empat anak lagi turut mengalami banyak kerosakan sehingga hampir rebah menyembah bumi.

Pasangan itu, bagaimanapun sentiasa bersyukur kerana masih mempunyai tempat berteduh meskipun dalam keadaan serba kekurangan.

“Sudah pasti, saya dan suami mengimpikan sebuah rumah yang elok, namun dengan pendapatan suami yang tidak menentu, hanya papan lapis sahaja yang mampu digunakan untuk menampal dinding yang rosak akibat air pasang,” kata Fatimah.

Katanya, pendapatan yang diperoleh suami yang bekerja sebagai nelayan sekadar cukup makan, dan perlu mendahulukan keperluan persekolahan tiga orang anaknya yang berumur di antara 18 hingga 13 tahun.

Selain itu, mereka juga perlu memberikan perhatian sepenuhnya kepada anak bongsu, Nor Afira , 12, yang kurang upaya dan hanya terlantar di atas di tilam sepanjang hari, akibat demam panas ketika kecil turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Menurutnya, beberapa struktur rumah seperti tiang rumah, lantai dan dinding mengalami kerosakan selain bumbung rumah yang bocor.

“Dalam tempoh sebulan, hampir dua kali kami sekeluarga perlu menghadapi air pasang dan ketika itu segala barang perlu diletakkan di tempat yang tinggi, dan Nor Afira pula perlu didukung dan dipindahkan ke dalam bilik,” katanya.

Katanya, beberapa permohonan baik pulih rumah pernah dibuat sebelum ini, namun sehingga kini tiada jawapan bagi permohonan berkenaan.

Dia dan suami ada bertanya perkara terbabit dengan kepimpinan kampung namun alasan yang diberi tanah tempat tinggal mereka sekeluarga adalah milik kerajaan.

“Saya kecewa dengan alasan yang diberikan itu, kerana saya amat memahami tanah yang kami tinggal sekarang adalah tanah rizab kerajaan dan bakal dipindahkan,

“Tetapi dalam tempoh menunggu untuk berpindah ke lokasi penempatan baru, saya harapkan rumah saya dapat dibaik pulih memandangkan keadaannya yang semakin usang dan demi keselamatan kami sekeluarga ,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment