Sunday, January 22, 2012

AUKU : TEGAH SEBELUM JATUH

[1]
Kezaliman perlu ditolak. Semua agama tolak kezaliman. Ekoran itu, mustahil Islam sokong kezaliman. Jika didakwa Islam sokong kezaliman, secara tidak sengaja telah menghina Islam itu sendiri.

Antara bentuk kezaliman adalah, memandomkan akal manusia; projek membodohkan manusia; projek melembabkan manusia berfikir. Kezaliman bentuk, dinukilkan oleh Allah SWT dalam al-Quran.

Firman Allah dalam surah Zukhruf ayat 54, “Maka Fir'aun merendah-rendahkan (akal)  kaumnya lalu mereka patuh kepadanya. Karena sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasiq”.

[2]
Apabila zalim, maka wajib dihapuskan. Hendaklah digunakan segala tenaga yang ada untuk dihapuskan kezaliman tersebut sehingga ia tidak ada lagi.

Imam Muslim meriwayatkan bahawa dari Abu Sa’id al-Khudri berkata bahawa Nabi Muhammad SAW ada bersabda, “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia tukar dengan tangannya; jika tidak mampu, maka dengan lidahnya; jika tidak mampu, maka benci dalam hati, maka itu adalah selemah-lemah Iman”.

Kemungkaran itu, ada yang melibatkan individu, dan ada melibatkan orang ramai. Jika kemungkaran individu yang tidak melibatkan orang ramai pun wajib ditukar, maka terlebih wajib ditukar terhadap kezaliman, kerana ia melibatkan orang ramai. Lebih-lebih lagi, melibatkan pemandoman akal seperti AUKU.

[3]
Apabila AUKU zalim, maka ia wajar dihapuskan. Menghapuskan AUKU ini adalah kuasa kerajaan Pusat. Ekoran itu, ia bukan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi kuasa kerajaan BN.

Pakatan Rakyat mempunyai dasar yang bijak; mahu hapuskan AUKU. Ia telah dibuktikan di Negeri Selangor, pimpinan Tan Sri Khalid, juga rakan-rakan dari parti PKR, PAS dan DAP. Di negeri selain itu, agak samar-samar. Kelihatan seperti di mulut kata benci AUKU, tindakan pula seperti sebaliknya.

[4]
Sebagai kerajaan pakatan rakyat, jika tidak mampu menghapuskan AUKU dengan “tangan”, tetapi wajib dihapuskan dengan “lidah”. Jika tidak mampu, sepatutnya dihapuskan dengan “benci dalam hati”. 

Tindakan berdiam diri, dengan tidak menggunakan segala kuasa yang ada untuk menafikan pengamalan AUKU adalah seperti menyokong AUKU, iaitu seperti tidak membenci dalam hati. 

Jika dalam hadis, mungkar yang dibenci dalam hati pun sudah dikira sebagai selemah-lemah iman, bagaimana pula tidak membenci dalam hati? 
[5]
Ada pula sebilangan manusia yang dilihat serius melawan AUKU diperingkat nasional. Apabila AUKU digunakan oleh UMNO, maka kelihatan dia kehadapan. Tetapi, jika dibuat oleh golongan dari kalangannya, maka didiamkan.

Jika sudah diiktiraf AUKU sebagai zalim, maka ia wajar dihapuskan, walau dari siapa sahaja yang melakukannya. Jika terhadap UMNO sahaja dilawan, sedangkan “geng sendiri” buat didiamkan, itu sudah digelar sebagai Assobiyyah.

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, daripada Abu Fusailah berkata bahawa Nabi SAW ditanya tentang Asobiyyah, lalu dijawab Nabi Muhammad SAW, “tetapi (Assobiyyah) adalah membantu seseorang lelaki terhadap kaumnya terhadap kezaliman”


[6]
Tindakan zalim, dan berdiam diri dengan kezaliman adalah bahaya. Ini kerana, sesuatu kerajaan boleh jatuh berfaktorkan kezaliman.

Ibn Taimiyah ada menyatakan dalam kitab al-Hisbah, “Sesungguhnya Allah SWT tolong Negara yang adil, walaupun negara itu kafir sekalipun. Allah SWT tidak akan tolong Negara yang zalim, walaupun Negara itu mukmin sekalipun”.

Dalam al-Quran, Allah SWT ada berfirman dalam surah Hud ayat 117, “Tuhan kamu tidak akan membinasakan penempatan secara zalim, sedangkan rakyatnya saling melakukan islah (pembaik pulih)”.

Dengan maksud, penempatan yang tidak ada islah, malahan penuh dengan kezaliman, akan dijatuhkan oleh Allah SWT.

Jadi, berhati-hatilah dengan kezaliman. Jangan jadi orang yang buat zalim, dan jangan jadi orang yang berdiam diri dengan kezaliman. Mungkin berdiam diri kerana mahu menjaga hati rakan taulan, tetapi berdiam diri itu dibimbangi mengundang kemurkaan ilahi. 

Sekiranya kamu tidak takut pada kemurkaan Allah SWT yang bakal menimpa, cubalah takut kerajaan kamu akan jatuh. Ini kerana, kejatuhan kerajaan kamu itu mengundang banyak keburukan berbanding kebaikan. 

Wallahu ‘Alam.

Sumber: AL-BAKISTANI

No comments:

Post a Comment