Friday, September 7, 2012

Usah melatah isu Sang Saka Malaya


Ahmad Lutfi Othman

 Sambutan kemerdekaan negara kita memang tidak sunyi daripada polemik. Sumbangan para pejuang yang berhempas-pulas menghalau penjajah dengan darah dan air mata turut menjadi pertikaian. Umno mahu membolot legasi perjuangan mulia itu; seolah-olah ia sahaja berperanan membebaskan watan tercinta.

Tahun lalu heboh kontroversi Mat Indera dan peristiwa Bukit Kepong. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dilanyak Utusan Malaysia berminggu-minggu tanpa diberi peluang membela diri. Di peringkat awal, PAS nampak tersudut ke penjuru kelam, kononnya  tidak langsung menghargai pengorbanan pasukan keselamatan, sekali gus mengagungkan "wira komunis".

Bagaimanapun, tanpa dirancang, minat masyarakat untuk menelusuri jejak perjuangan membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajahan British meningkat dengan drastik sekali. Naluri ingin tahu fakta sebenar membuak. (Secara peribadi, saya yakin, apa jua kontroversi, jika disorot melalui tradisi keilmuan yang segar dan mantap, pastinya mendatangkan manfaat buat semua).

Satu Wacana Merdeka, yang dianjurkan Jabatan Sejarah Universiti Malaya, pada 23 September 2011, di Dewan Uliah A, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM, mendapat sambutan memberangsangkan. Saya yang masih bertongkat, terpaksa hadir awal dan mendaftar sebelum jam 8 pagi, bimbang tidak mendapat tempat.

Sejarah, yang sering dianggap pengulangan cerita lama yang membosankan, tiba-tiba menggamit minat luar biasa masyarakat awam. Dari sisi lain, sekurang-kurangnya pusara anggota polis yang terbunuh di Bukit Kepong itu, tidak lagi terbiar. Ramai cuba mempamerkan simpati. Dan lebih penting, sehubungan itu, nasib pesara pasukan keselamatan, menjadi perhatian istimewa pemerintah, dengan menawarkan beberapa insentif menarik.


Ya, segalanya dimulakan oleh ceramah Mat Sabu di Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011. Rahmat terselindung -- ramai juga  (khususnya bekas polis dan tentera) mendapat manfaat atau "durian runtuh" ekoran kalimat yang dilihat kontroversi itu!

Seterusnya, soal yang berlegar sekitar pentafsiran sejarah itu, bukan sahaja disinggung tokoh akademik dan Majlis Profesor Negara, malah turut diheret ke mahkamah. Hakim diminta memutuskan isu berkaitan perdebatan proses kemerdekaan Tanah Melayu -- suatu dimensi yang sepatutnya terbuka untuk perkongsian lebih ramai khalayak.

Sememangnya proses pendakwaan kes jenayah di negara kita (bukan hanya Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA, yang digunakan sebagai senjata politik) sering menjadi alat atau perkakas siasah pemerintah apabila berdepan saingannya. (Saya terkenangkan Lim Guan Eng disumbat ke penjara selama hampir dua tahun melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dalam kes membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tamby Chik, sedangkan ia lebih kepada pertarungan politik).

Terbaru, aksi beberapa anak muda yang mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" di Dataran Merdeka, menjelang detik 12 tengah malam 31 Ogos lalu,  secepat kilat dimanipulasi untuk mempamerkan "wajah hodoh" Pakatan Rakyat dan pemimpin Bersih. Rupanya kempen politik BN dalam sambutan 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati belum berakhir dengan himpunan besar-besaran di Stadium Bukit Jalil ....

Meneliti laporan media  (yang sentiasa menunggu bagai singa lapar untuk menghitam-legamkan wajah pembangkang, berdepan PRU13), dua insiden berbeda pada malam himpunan Janji Demokrasi itu cuba dihubungjalinkan dan dikaitkan dengan  Pakatan Rakyat.

Selain itu, penonjolan "Sang Saka Malaya" mahu disamakan dengan peristiwa memijak (dan tunjuk punggung) ke atas gambar Perdana Menteri, Najib Razak,  dan isterinya, Rosmah Mansor, serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Aziz Yusof. Pihak polis berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan (yang mahu dimansuhkan itu), Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan.

Pastinya setiap kita tidak dapat menerima aksi melampau, mencabuli akhlak dan tidak bertamadun memijak gambar Najib itu. Walaupun ramai berkongsi tekad dan keazaman yang tinggi untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Najib dalam PRU13, namun segalanya perlu dibuat melalui amalan demokrasi. Justeru, yang dituntut adalah sistem pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.

Sejak merdeka, pembangkang, khususnya PAS sebagai oposisi tertua, sentiasa dizalimi, dianiaya dan dinafikan hak sebagai parti berdaftar untuk bertanding di "atas padang yang sama rata".

Pemimpin dan aktivisnya bukan saja ditahan (sebahagiannya tanpa bicara), dibuang daerah, didiskriminasi serta melalui siri tribulasi dan mehnah  yang panjang, malah ada yang dibunuh, namun sistem pilihan raya yang serba tempang-kotor itu tetap dihormati. Mereka tidak pernah absen daripada menyertainya setiap kali diadakan.

Selama lebih lima dekad lalu, kesabaran dan toleransi  tinggi petugas PAS -- biarpun ditindas dan ditekan -- telah berjaya mewujudkan suasana aman-stabil yang berterusan. Ramai sarjana sejarah, termasuk di peringkat antarabangsa, menyanjung tinggi sikap berlapang dada pemimpin Parti Islam itu, sekali gus menolak pendekatan militan.

Saya sukar memahami motif Buletin Utama TV3, yang begitu kerap mengulangi rakaman aksi gambar Najib dipijak, seperti disaksikan 4 September lalu. Memanglah tujuannya untuk menanamkan rasa jelik kepada pelaku, yang mahu dikaitkan dengan penyokong Pakatan Rakyat, tetapi dengan ulangsiar berlebihan, ia boleh mengundang persoalan, mengapa marah sangat mereka terhadap Perdana Menteri? Rakyat kini bijak membaca dan menyelongkar apa yang tersirat, berbanding paparan tersurat.

Realitinya, tindakan pijak potret pemimpin bukan isu baru. Sepatutnya pihak polis bukan hanya bertindak segera dan pantas terhadap aksi pada sambutan ambang kemerdekaan itu, tetapi juga kepada deretan insiden yang jauh lebih tragis dan tersusun, termasuk mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap pemimpin dan penyokong Pakatan.

Dalam kenyataannya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta polis mengambil tindakan serupa terhadap pelaku yang memijak posternya, Mei lalu, yang turut melakukan upacara simboik pengkebumian di hadapan rumahnya. Begitu juga dengan "tarian punggung" di luar rumah Pengerusi Bersama Bersih, Ambiga Sreenevasan. (Lim juga dihina dengan penyerahan "kek tahi").

Ramai ingin tahu nasib laporan polis yang dibuat pemimpin Pakatan, yang diserang dan diganasi oleh samseng Umno dan Perkasa, ketika berceramah di seluruh negara, misalnya membabitkan Anwar Ibrahim, Mat Sabu dan Nurul Izzah.

Usah kukuhkan lagi imej buruk polis sebagai sebahagian perkakasan politik Umno yang amat memalukan itu. Seperti kata AJK PAS Pusat Pusat, Ustaz Idris Ahmad: "Semua rakyat memerhati dan berfikir, adakah pemimpin Umno yang bebal itu akan terus kebal?"

Meneliti kenyataan dua individu yang mengakui bertanggungjawab membuat dan mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" dalam blog Singa Selatan, yang mendakwa tidak mewakili mana-mana parti politik, saya kira insiden itu -- seperti juga ceramah Mat Sabu mengenai Mat Indera -- yang kelihatan agak mengejutkan dan mempunyai elemen radikalisme, akan menimbulkan polemik berpanjangan dan tidak mustahil di hujungnya nanti merupakan "satu pencerahan yang produktif" tentang asal-usul perjuangan memerdekakan tanahair.

"Kami mewakili golongan anak muda yang ingin menonjolkan kebenaran dan sejarah yang cuba ditenggelamkan oleh pihak yang bertanggungjawab, jauh sekali bermotif untuk menukar Jalur Gemilang kepada Sang Saka Malaya," tulisan itu dipetik.

Setelah menjelaskan inti perjuangan golongan kiri yang terawal memperjuangkan kemerdekaan seperti, KMM, PKMM, API, termasuk juga gerakan Islam Hizbul Muslimin, dirumuskan Sang Saka Malaya adalah panji perjuangan mereka dalam menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu. Beliau mengakui tujuannya mengibarkan bendera itu untuk memperingatkan orang ramai terhadap tokoh-tokoh pejuang seperti Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Hj Muhammad dan Ustaz Abu Bakar Baqir.

Tiada mana-mana parti politik dalam Pakatan menyokong usaha mereka. Namun media Umno, seperti lazimnya, tanpa merujuk sumber sahih, cuba  mendakwa Pakatan akan menukar bendera. Anwar menekankan, "tiada niat untuk kita menukar bendera Malaysia." Ustaz Idris menjelaskan, "pemimpin Pakatan Rakyat menegaskan tidak pernah ada perbincangan langsung untuk menukar bendera, cuma yang ada hanya untuk menukar kerajaan."


Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali mahu siasatan segera dibuat: "Perbuatan ini sangat tidak wajar dan satu pengkhianatan kepada kesepakatan yang diterima pakai rakyat Malaysia."

Polemik Sang Saka Malaya ini mengingatkan saya tentang buku Memoir Ahmad Boestamam, Merdeka dengan Darah dalam Api, terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (2004), yang menggabungkan tiga karya asal, Lambaian Dari Puncak, Merintis Jalan ke Puncak dan Tujuh Tahun Malam Memanjang.

Dalam bab "PKMM Menarik Diri dari Umno", Boestamam, dengan gaya ceritanya yang menarik, mengisahkan perjalanan sidang pertama Umno pada 1946, apabila wakil badan-badan gabungan diminta mengusul bendera atau lambang parti itu.

PKMM diwakili Ishak Hj Muhammad dan Boestamam sendiri. Ishak sebagai jurucakap membawa Sang Saka Merah-Putih, lambang PKMM sendiri, dan mengibarkannya dalam sidang itu, setelah mengemukakannya sebagai bendera Umno.

Keputusan pengundian menyaksikan usul PKMM itu dikalahkan hanya dengan satu usul yang mahukan lambang Umno seperti sekarang (masih Sang Saka Merah-Putih dengan tambahan lambang keris). Terdapat kira-kira 50 badan  dalam sidang itu dan setiap pertubuhan diberikan dua undi, manakala PKMM sahajalah "badan kiri".

Boestamam kemudiannya mengusulkan supaya PKMM, berdasarkan penolakan syornya tentang bendera itu, menarik diri keluar dari Umno. "Perbezaan pandangan politik antara Umno dengan PKMM," kata Boestamam, "sudah jelas jauh bertentangan. Sementara kita mahu kemerdekaan seratus peratus bagi Malaya, Umno hanya mahu kembali kepada status quo sahaja. Kerana perbezaan pandangan politik ini lambat launnya kita pasti akan berpisah juga dengannya ...."


Tanpa didorong keperluan untuk menukar bendera, saya masih tertarik dengan ulasan Hishamuddin Rais dalam Malaysian Insider: "Merah putih adalah motif Nusantara. Motif Melayu Raya, kerana itu bendera Umno, PAS, Singapura dan Indonesia semuanya menggunakan Sang Saka ... Tahun 2006, bendera Umno di nobat sebagai Sang Saka Bangsa, sila tanya pemuda Umno kerana mereka yang mencadangkan nama ini. Tanya Khairy Jamaluddin, dia senyap kerana dia tahu sejarah Sang Saka."

Bagi saya, usah melatah isu Sang Saka ini, apatah lagi mengenangkan masih banyak isu-isu kritikal yang perlu ditangani segera, misalnya kerakusan kroni Najib untuk memenuhkan tembolok dengan projek ratusan bilion, sebelum Putrajaya "dibebaskan" Pakatan dalam PRU13.

Beberapa insiden spontan, yang nampak menggemparkan (disensasikan media Umno) seperti mempamerkan Sang Saka Malaya oleh dua tiga anak muda itu tidaklah perlu dikutuk secara berlebihan. Ada baiknya juga jika kita memperuntukkan sedikit masa untuk menyelami jiwa mereka yang bergejolak itu, 'kan?


Sunday, August 19, 2012

Tuesday, August 14, 2012

Takkan sampai tara ni pemuda umno hina anak yatim

Mediaperak
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) telah menganjurkan proram Tadarus dan Khatam Al-Quran peringkat nasional bersempena bulan Ramadhan Al-Mubarak.”

Tajuk berita cukup best. VIP yang hadir juga cukup best. Tapi macam mana dengan layanan yang diberikan?

Aku bagi warning kepada seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat. Kalau aku nampak..gerenti hangpa naya aku katok.

Jangan sekali-kali hangpa buat benda macam ni. Dibawah ni adalah budaya Melayu Umno. Sapa-sapa juga dari Pakatan Rakyat yang buat benda macam kat bawah ni, depa juga tergolong didalam puak-puak Umno.
Meja Anak Yatim (Sebelum berbuka)
 
Meja untuk VIP (sebelum berbuka)
 
Meja Anak Yatim (Nak berbuka)
 
Meja VIP sewaktu berbuka.
Aku setuju dengan blogger APA. Tolong tunjukkan gambar anak-anak yatim sedang makan. Tak kan depa makan kuih dalam bekas plastik dan air mineral saja.

Monday, August 13, 2012

UTUSAN MEDIA BANGSAT YANG BAKAL DIHUKUM

Oleh:  WFAUZDIN NS


MENGAPA istilah 'Kafir Harbi' ini wujud sewaktu Umno terkial-kial untuk mendapatkan sokongan kaum Cina?  Benarkah DAP itu 'Kafir Harbi' sekarang dan tidak dahulu lagi sewaktu Umno mendapat sokongan kuat dari kaum Cina di dalam Bn?  Dan, paling penting hujah atau dalil untuk menghukum DAP itu sebagai 'Kafir Harbi' adalah dalil yang boleh diguna pakai untuk menghukum Umno itu sendiri.
Apa rasa Umno jika Umno juga disamakan dengan DAP atas dalil Umno juga aktif sejak dahulu menentang Hukum Hudud?  Tentunya ahli-ahli Umno merasa marah jika dikatakan sedemikian, tetapi mereka tidak merasa apa-apa jika label itu dikenakan kepada DAP.  Inilah politik paling bankrap Umno disaat mereka terdesak.
Media bangsat
"Kafir Harbi" ini darah mereka halal buat umat Islam.  Sedarkah Umno hal ini?  Apakah DAP sekarang terlalu bahaya kepada umat Islam?  Lihat apa yang Lim Guan Eng buat di P.Pinang, adakah pemerintahan Lim Guan Eng dari DAP sekarang ini telah mengancam umat Islam khususnya di P.Pinang?  Cuba berikan dalil atau fakta semenjak bila MCA, Gerakan, MIC dan berbelas parti komponen di dalam Bn sekarang termasuk Umno itu sendiri yang secara jelas menyokong Hukum Hudud? 
DAP tidak bersetuju dengan Hukum Hudud, tetapi pernahkah DAP membawa penentangan mereka melalui mahkamah atau tindakan menentang secara agresif?  Cuba tanya pemimpin Umno pula, pernahkah mereka cuba menghalang Hukum Hudud ini dari dilaksanakan melalui kuasa yang mereka miliki?  Jika ahli-ahli Umno lupa, cuba tanya Mahathir.  Cuba tanya Zaid Ibrahim sewaktu beliau berada di dalam Umno dahulu adakah hukum ini pernah cuba dibawa ke mahkamah?
Sokong MCA harus, wajib, sunat?
Maka bersalam dengan pemimpin dari Parti Komunis, hukum kita menyokongnya?
DAP sedar PAS tidak pernah berganjak dari dasar Islamnya termasuk cita-cita untuk melaksanakan Hukum Hudud, tetapi DAP sehingga kini tidak berpaling dari kerjasama dengan PAS.  Ertinya, DAP hanya menolak Hukum Hudud tetapi konsisten bersama PAS dan PKR menentang amalan rasuah dan berbagai bentuk kemungkaran yang lain.  Berbeza dengan Umno, MCA, Gerakan dan MIC, mereka bukan sahaja konsisten menentang Hukum Hudud tetapi konsisten di dalam mengekalkan amalan rasuah dan berbagai bentuk salah laku di kalangan pimpinan mereka.  
Amat jauh beza DAP dengan Umno, tetapi tidak sampai kita menghukum Umno itu sama seperti yang dihukum oleh Lebai Malang dari pondok Kelantan itu.  Walaupun kita ada hujah dan fakta, tetapi di dalam menghukum Umno sehingga ke tahap itu bukan amalan kita berpolitik.  Umno nampaknya tidak pernah berfikir betapa bahayanya propaganda meng'kafir harbi'kan DAP itu jika diteruskan.  Media haprak dan bangsat Utusan Meloya tidak pernah bertanggungjawab terhadap keharmonian di dalam negara ini.  
InsyaAllah, apabila kita berjaya ke Putrajaya nanti media seperti ini akan kita hukum dengan setimpal kerana perbuatan mereka amat jahat, jijik dan tidak bertanggungjawab samasekali./wfauzdin.blogspot.com

Monday, August 6, 2012

KITA DIIKTIRAF BEB (GAMBAR)

https://fbcdn-sphotos-g-a.akamaihd.net/hphotos-ak-snc7/s480x480/313287_313673875395915_1437585694_n.jpg

Sumber: Na'im Nikmat

Kes Penamatan Pinjaman Pelajar Mesir; Fitnah Umno-BN Terengganu


KUALA TERENGGANU - Setelah menamatkan pinjaman sembilan orang mahasiswa Mesir dengan zalim, Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu menabur fitnah dan mengelirukan rakyat.

Pada 18 Mac, sebuah akhbar tempatan melaporkan kerajaan Negeri membatalkan serta-merta penajaan pendidikan di bawah Yayasan Terengganu (YT) kepada enam mahasiswa lelaki yang ‘kononnya’ didapati bersalah kerana terlibat dalam demostrasi.

Keenam-enam mahasiswa yang sedang menuntut di beberapa universiti di Mesir itu dijatuhkan hukuman bersalah hanya kerana beberapa keping gambar memakai baju BERSIH, ‘tanpa dipanggil untuk dibicarakan dan diberi peluang untuk membela diri’.

Tindakan menghukum pelajar tersebut ekoran perisytiharan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Hishamuddin Hussein yang mengharam kan BERSIH.

Sebaliknya mahkamah pada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Julai membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri yang mengatakan Gabungan Menuntut Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) sebagai sebuah pertubuhan haram.

Hakim Datuk Rohana Yusof dalam penghakimannya berkata kenyataan Menteri Dalam Negeri itu tidak masuk akal kerana setelah menggelarkan gabungan itu sebagai pertubuhan haram pada 1 Julai tahun lalu, kemudiannya membiarkan pertubuhan itu mengadakan perhimpunan pada 9 Julai tahun sama.

Justeru sepatutnya penamatan pinjaman yang diputuskan oleh Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu  ‘terbatal’ kerana demonstrasi BERSIH adalah tidak salah di sisi undang-undang.

Sehubungan itu, pada 30 Julai lalu, Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah  telah menggesa Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said, Kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu supaya menyambung semula pinjaman pelajaran yang telah ditamatkan ke atas sembilan orang mahasiswa yang sedang menuntut di negara Mesir

Beliau berkata, keputusan kerajaan menamatkan pinjaman tersebut adalah berdasarkan gambar yang menunjukkan mahasiswa itu terbabit dengan Himpunan Aman Bersih yang dituduh  sebagai 'haram dan kotor’.

Namun begitu, Umno-BN Terengganu telah ‘menangguk di air yang keruh’ dengan mempolitikkan tindakan salah seorang mahasiswa, Muhamad Hasyim yang membuat rayuan bagi mendapatkan semula hak beliau yang telah dinafikan Yayasan Terengganu.

Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) dalam kenyaataannya semalam telah melahirkan sekali lagi rasa simpati kepada sembilan mahasiswa yang menjadi mangsa penamatan pinjaman oleh Yayasan Terengganu itu.

Sejak dari awal kes penamatan pinjaman tersebut, PAS berusaha pelbagai cara bagi mengembali kan hak mahasiswa terbabit untuk melanjutkan pelajaran.

Menurut Setiausaha DPPNT, Zaidan Abdullah, PAS tidak pernah menghalang mana-mana dari sembilan mahasiswa tersebut untuk membuat rayuan kepada pihak yang menamatkan pinjaman itu.

Bahkan kata Zaidan, dalam beberapa perjumpaan dan pemberian sumbangan kepada bapa mahasiswa yang menjadi mangsa kezaliman Umno-BN Terengganu, bapa Muhamad Hasyim, Che Ngah telah memaklumkan bahawa beliau akan meminta anaknya membuat rayuan.

Bayangkanlah, dimanakah seorang bapa seperti Che Ngah berupaya mendapatkan baki lebih RM100,000 bagi mengongkosi perblenjaan Muhamad Hasyim yang menunjut dalam jrusan perubatan.

Menurut laporan, sebanyak RM170,000. daripada RM RM301,144 telah dibelanjakan bagi Muhamad Hasyim menamatkan pengajian perubatannya.

Namun begitu, tanpa rasa kemanusiaan dan belas kasihan, Umno-BN memanupulasikan perjumpaan Muhamad Hasyim Che Ngah dengan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said pada 3 Ogos lalu.

Akhbar-akhbar dan media Umno-BN tidak segan silu menjadikan ‘kesukaran dan kepayahan’ Muhamad Hasyim sebagai modal politik menyokong tindakan zalim Umno-BN.

Tidak cukup sekadar itu, secepat kilat pula ‘blog-blog’ upahan Umno-BN membuat fitnah, kononnya PAS tidak menyampaikan derma sumbangan orang ramai kepada mahasiswa terbabit.

Sedangkan menurut Zaidan, sumbangan sebanyak RM3500 kepada setiap mahasiswa telah pun diserahkan melalui keluarga masing-masing secara berperingkat.

“Muhamad Hasyim tidak tahu, ayahnya Che Ngah tidak memberitahu beliau kerana Muhamad Hasyim berada di Mesir,”kata Zaidan.

[Gambar - beberapa majlis yang diadakan oleh DPPNT menyampaikan sumbangan kepada bapa pelajar mangsa kezaliman Umno-BN Terengganu yang diadakan sejak program Pntas Pemuda di Manir pada Mac 2012]

Menurutnya, DPPNT masih terus berusaha bagi mendapatkan sumbangan pelbagai pihak bagi disalurkan kepada pelajar-pelajar terbabit. InsyaAllah, di hujung Ramadhan ini sebanyak RM1000 lagi akan diserahkan bagi meringankan beban mereka.

Justeru, katanya, sumbangan terhadap pelajar terbabit boleh dilakukan melalui akaun MAYBANK ISLAMIC bernombor 5630 6411 3873 atas nama DANA TA'AWUN DPPNT

Buletin Online

Royalti minyak: Mahkamah Rakyat bakal penentu



Dr. Syed Azman Syed Ahmad,
Isu royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan kembali menjadi perbualan hangat apabila Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Isu ini mula timbul sebaik sahaja PAS berjaya menawan negeri Terengganu pada pilihanraya umum ke 11 tahun 1999.

Pada 5 September 2000, di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed, Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk menarik balik royalti minyak Terengganu dan menggunakan kaedah baru yang dikenali “Program Tabung Pembiayaan Wang Ehsan” tanpa menyalur terus kepada kerajaan negeri lima peratus royalti petroleum.

Malahan Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa “pembayaran royalti lima peratus kepada Terengganu selama 25 tahun oleh Petronas adalah satu kesilapan”.

Lebih malang lagi ada menteri dan pimpinan Umno negeri Terengganu sendiri yang sanggup mengeluarkan kenyataan bahawa perjanjian antara kerajaan negeri Terengganu dan Petronas hanyalah merupakan suatu MOU sahaja.

Begitu juga apakah yang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri PAS Kelantan.

Kalangan kepimpinan Umno juga menyatakan bahawa Kelantan tidak layak menerima royalti minyak kerana pada masa ini, tiada pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan perairan negeri Kelantan.

Malahan menurut pimpinan Umno, dari segi perundangan, Kelantan hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.

Sebab itulah Kelantan hanya layak menerima "wang ehsan" sebanyak RM20 juta setahun yang disalurkan terus kepada rakyat Kelantan melalui ajensi kerajaan pusat iaitu Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Dalam pertikaian isu royalti ini, kerajaan PAS Terengganu telah menfailkan saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan kerajaan Persekutuan untuk menuntut kembali royalti minyak berdasarkan kepada perjanjian yang di tandatangani pada tahun 1975.

Bayaran tersebut perlu dibuat mengikut Akta Petroleum 1974 yang membolehkan setiap negeri menerima royalti minyak sebanyak lima peratus daripada hasil perolehan petroleum.

Kerajaan Pas Kelantan di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz turut memfailkan saman terhadap Petronas bagi menuntut tunggakan pembayaran royalti dan bayaran masa hadapan bagi hasil petroleum yang diperoleh di luar pantai negeri berkenaan yang tidak dibayar sejak 2004.

Saman terhadap Petronas itu meliputi dakwaan melanggar perjanjian kontrak dan juga turut membabitkan isu perlembagaan.

Bagi saya apa yang berlaku bukanlah isu hasil minyak yang diperolehi itu berada samada di dalam atau diluar tiga nautika dari persisir pantai negeri.

Kenapa ini tidak berlaku di Sabah dan Sarawak? Apa yang dilakukan adalah kerana dendam dan diskriminasi politik yang berjalan sejak berpuluh-puluh tahun serta berniat meyiksa rakyat yang telah memberi mandat kepada PAS memerintah negeri.

Lebih parah lagi mereka sanggup menghina dan menghukum rakyat Terengganu dan Kelantan yang 96 peratus adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Namun apa yang telah berlaku di negeri Terengganu adalah merupakan suatu pengajaran besar kepada seluruh rakyat Kelantan yang cintakan keadilan.

Sepanjang wang royalti Terengganu di rampas oleh kerajaan Persekutuan Umno/BN dan diletakkan dibawah ‘Program Tabung Pembiayaan Wang Ehsan’ negeri Terengganu sepatutnya berhak menerima royalti berjumlah lebih dari RM15.4 billion dari tahun 2000-2009.

Malah jika diperincikan perbelanjaan ‘wang Ehsan’ yang diuruskan Kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh 11 tahun royalti yang di nafikan kepada kerajan Terengganu, mereka berbelanja berbilion-bilion semewah-mewahnya melalui projek-projek seperti pembinaan Taman Tamadun Islam,  Masjid Kristal, Monsoon Cup serta Stadium Sultan Mizan yang runtuh bumbungnya. Begitu juga dengan pembinaan Zoo di Kemaman yang menelan belanja RM100 juta.

Wang ihsan yang kononnya untuk membantu golongan miskin seperti nelayan, petani, penarik beca di Terengganu di jaja secara meluas sehinggakan rakyat Terengganu di perangkap dan terpenjara dengan ‘budaya subsidi’ Umno/BN.

Rakyat terus dihimpit kemiskinan dan Trengganu mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi iaitu 17.3 peratus dengan rakyatnya kebanyakannya hidup miskin, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, walaupun pendapatan per kapita Terengganu adalah yang kedua tertinggi di seluruh negara.

Umno/BN telah sejak berpuluh tahun melakukan sabotaj dan menganak-tirikan kerajaan pimpinan PAS. Mereka sanggup mencabul prinsip demokrasi berparlimen dan konsep Federalisma walaupun bertentangan dengan perlembagaan negara kita sendiri.

Namun,  ‘Mahkamah rakyat’ yang akan menjadi penentu.  Biarlah rakyat yang menjadi hakim dan membuat penghukuman terhadap siri kezaliman pemimpin-pemimpin Umno/BN terhadap pemerintahan Tok Guru di Kelantan sekarang ini.- Hrk.